Cari:
Najib Ketuai Delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN
2016-09-05 16:29:10 CRI Cetak

Datuk Seri Najib Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 serta sidang kemuncak yang berkaitan di Vientiane, Laos, mulai esok hingga Khamis ini.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Najib dijadualkan mengadakan beberapa mesyuarat hubungan dua hala dengan pemimpin negara anggota ASEAN dan negara rakan dialog bagi membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama.

Pada akhir sidang kemuncak ASEAN itu, pemimpin ASEAN akan memperakukan dua dokumen hasil, iaitu Deklarasi Vientiane mengenai Perakuan Inisiatif Pelan Kerja Integrasi ASEAN Ketiga dan Deklarasi Vientiane mengenai Perakuan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025.

Kedua-dua dokumen yang menjadi sebahagian daripada ASEAN 2025: Memacu Bersama itu masing-masing bertujuan untuk mengurangkan jurang pembangunan dan pembasmian kemiskinan antara negara anggota ASEAN serta memainkan peranan utama dalam mempergiatkan integrasi di rantau ini.

Perdana Menteri Malaysia dan pemimpin ASEAN juga dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-19; Sidang Kemuncak Asia Timur ke-11; dan Sidang Kemuncak ASEAN dengan rakan dialog ASEAN termasuk Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sidang Kemuncak ASEAN ini juga akan memberi peluang kepada pemimpin negara anggota untuk bertukar-tukar pandangan mengenai hala tuju ASEAN dan hubungan luarnya, selain pelbagai isu serantau serta antarabangsa.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China