Kao Chin Su-mei ialah bekas pelakon wanita Taiwan yang sangat popular pada tahun 1990-an. Beliau dikenali ramai menerusi watak-watak yang dibawanya dalam filem "The Wedding Banquet" yang diarahkan oleh Ang Lee dan drama TV "Wan Jun" yang diadaptasi daripada novel Qiong Yao, penulis Taiwan yang terkenal.
Kini, Kao Chin Su-mei yang berketurunan Atayal, kaum asli di Taiwan, berkhidmat sebagai ahli Majlis Perundangan yang memperjuangkan kepentingan orang asli di pulau itu. Walaupun sudah lama tidak berlakon dan banyak terlibat dalam lapangan politik, keanggunannya masih terserlah.
Ketika menyentuh tentang sebab yang mendorong beliau menceburi bidang politik, Kao Chin Su-mei berkata,
"Oleh sebab saya berketurunan Atayal dan telah dipilih menjadi wakil rakyat dalam Majlis Perundangan, saya mempunyai tanggungjawab dan kewajipan untuk berkhidmat kepada mereka (orang asli di Taiwan).
Kao Chin Su-mei memberitahu kami bahawa kaum Atayal merupakan satu daripada 14 kaum asli di Taiwan. Jumlah seluruh penduduk orang asli di pulau itu tidak lebih daripada 500 ribu orang, hanya menwakili 2% daripada jumlah penduduk Taiwan. Mereka tinggal berselerak di merata-rata pulau tersebut.
Kao Chin Su-mei dilahirkan dan dibesarkan di satu kawasan yang didiami oleh orang Hakka dan orang Hokkien di Taipei. Ayahnya ialah anggota tentera yang berasal dari Anhui China. Beliau berhijrah dari Tanah Besar China ke Taiwan pada tahun 1949. Ibunya ialah orang Atayal yang merupakan orang asli di Taiwan.
Kao Chin Su-mei mengaku bahawa walaupun beliau telah mewarisi kecantikan ibunya sebagai orang Atayal, namun beliau tidak ada sebarang pengetahuan tentang kaum Atayal. Dalam kenangan Kao Chin Su-mei, beliau hanya ingat ibunya pernah membawanya pulang ke kampung mereka di kawasan pergunungan yang terpencil ketika beliau masih kecil. Kampung halaman ibunya yang mundur dan miskin itu bukan sahaja tiada sebarang daya tarikan baginya, malah tidak menimbulkan sebarang minat baginya untuk mengetahui budaya kaum asal ibunya itu.