Cari:
Abdul Ghani Abu: Hang Tuah bertemu Laksamana Cheng Ho di Yinchuan
2011-11-07 13:42:02 CRI Cetak


Al-Quran daripada kain sutera

Di Ningxia terdapat lebih 3700 buah masjid. Kanak-kanak Muslim juga berpeluang ke sekolah pendidikan agama Islam. Berkenaan dasar kawalan keluarga pula, di Ningxia etnik Hui yang tinggal di kawasan bandar dibenarkan mempunyai dua orang anak, manakala di kawasan luar bandar dibenarkan sehingga tiga orang anak. Etnik Hui bekerja dalam semua sektor seperti menjadi anggota awam; polis dan tentera, dan ada yang bekerja sendiri. Di Ningxia terdapat 35 etnik yang tinggal bersama-sama dalam suasana aman dan mesra. Terdapat sebuah universiti di utara Ningxia yang menempatkan pelajar daripada pelbagai etnik.

Dalam hal ini, Majlis Hal Ehwal Etnik dan Agama berperanan melaksanakan dasar seperti yang ditetapkan oleh kerajaan China. Antaranya termasuklah dasar sama rata dan saling membangu antara etnik, dasar membantu etnik minoriti dalam bidang pendidikan, budaya, ekonomi dan politik, dan melaksanakan dasar daerah autonomi etnik.

Pada 1958 ditubuhkan wilayah autonomi etnik Hui di Ningxia ini. Sehingga kini 30 peratus pegawai kanan di pejabat kerajaan di Ningxia terdiri daripada etnik Hui. Dalam hal pembangunan pendidikan, lebih 100 buah sekolah berasrama khusus dibina untuk etnik Hui di kawasan pendalaman. Setiap bandar di Ningxia (Ningxia ada enam bandar; Yinchuan, Shizuishan, Wuzhong, Zhongwei dan Guyuan) terdapat antara 300 hingga 400 buah sekolah rendah dan menengah. Terdapat tiga buah sekolah menengah tinggi yang terbuka kepada etnik Hui yang miskin.

Dalam hal pendidikan tinggi pula, terdapat dua buah universiti di Ningxia yang memberikan kelayakan khas kepada etnik Hui untuk mendaftar masuk. Dalam markah peperiksaan pula, etnik Hui yang berasal dari kawasan pergunungan akan ditambah 30 peratus, manakala etnik Hui di Yinchuan akan ditambah 20 peratus.


Tanah Perkuburan Islam Kampung Na

Pada 1988 dilaksanakan dasar menghormati antara etnik. Kerajaan melindungi sumber air dan makanan yang halal kepada etnik Hui. Kerajaan juga memberikan bantuan kepada etnik Hui untuk menguruskan makanan halal. Dasar ini dilaksanakan dengan baik, dan etnik Hui dan etnik Han dapat hidup dalam suasana aman dan saling membantu.

Dalam hal industri halal pula, Wang Shengjun, Pengarah Pusat Pensijilan Makanan Halal China-Ningxia, menjelaskan terdapat lebih daripada 100 syarikat halal di Taman Industri Makanan Halal di Yinchuan dan Wuzhong. Setiap tahun kerajaan memperuntukkan 50 juta Yuan untuk pembangunan industri makanan halal. Pada 2008, Ningxia mula mengeksport makanan halal ke luar negara.

Ningxia juga menyeragamkan sijil halal dengan beberapa buah negara Islam termasuk Malaysia. Ningxia bekerjasama erat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) bagi meningkatkan industri halalnya. Menurut Wang, pada tahun-tahun akan datang Ningxia akan menjadi pusat pengumpulan industri halal dari seluruh negara China, dan kemudian menjadi pusat eksport ke luar negara. Industri halal di Ningxia merangkumi makanan dan keperluan harian masyarakat Muslim seperti pakaian.

Data pada 2009 sehingga 2011 mencatatkan Ningxia telah menjalinkan hubungan perdagangan melalui pensijilan halal dengan Malaysia, Arab Saudi, Qatar dan Mesir. Pada 2007 hingga 2008, Ningxia menghantar delegasinya menyertai Forum Produk Halal di Malaysia dan terus mengukuhkan jalinan ekonominya.

Industri halal di Ningxia menyumbang 10 bilion Yuan pada tahun lalu kepada pertumbuhan Keluaran Negara Kasar. Terdapat lebih 10 000 syarikat yang mendapat pensijilan halal khususnya restoran. Menurut Wang, dalam hal pengeluaran sijil halal, proses bermula dengan permintaan pengeluaran sijil daripada pengusaha, kemudian pakar akan datang menilai, dan setelah penilaian dibuat penyediaan dokumen akan dilakukan.

Setiap perusahaan yang hendak mendapat pensijilan halal, 20 hingga 30 peratus pekerjanya hendaklah Muslim. Selain itu, segala peralatan untuk persembelihan dan peralatan untuk penyediaan makanan hendaklah mengikut piawaian halal yang ditetapkan. Tukang sembelih juga hendaklah terdiri daripada imam yang dipertanggungjawabkan. Sehingga kini, terdapat lebih 50 perusahaan yang memohon pensijilan halal, dan 42 lulus (39 dari wilayah Ningxia dan tiga dari Gansu). Bagi mendapatkan pensijilan halal, setiap perusahaan yang memohon dikenakan bayaran sebanyak 3700 Yuan. Terdapat 15 orang pakar terlatih untuk menilai dan 30 orang kakitangan bertugas untuk pengeluaran sijil halal.

Apabila ditanya wartawan tentang peluang perniagaan dari negara luar yang boleh ditembusi di Ningxia, Wang menjelaskan perniagaan kopi mempunyai potensi besar di Ningxia. Baru-baru ini Forum China-Arab telah menghimpunkan lebih 6500 orang pengusaha dari 60 buah negara seluruh dunia.

Bercakap tentang sambutan Hari Raya Korban pula, di Ningxia masing-masing keluarga akan melakukan penyembelihan di rumah selepas menunaikan solat sunat aidiladha. Kulit kambing sembelihan akan dibawa ke masjid untuk didermakan. Pada kebiasaannya setiap keluarga akan membeli dua hingga tiga ekor kambing untuk ibadah korban.

Wawancara khas ini diadakan selama dua jam yang membongkar keseriusan dan kesungguhan kerajaan China membangunkan industri halal di Ningxia dan potensi luas masa hadapan kedua-dua pihak, iaitu antara pengeksport dan pengimport. Ruang ini juga memberikan peluang kepada peniaga khususnya dari Malaysia melabur di Ningxia. Selain itu, legasi sejarah laluan sutera pasti merancakkan pembangunan ekonomi Ningxia dalam sektor industri halal dan industri pelancongan.

1 2 3 4 5
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China