Puan Sun Yumei yang berumur 53 tahun merupakan seorang peniaga saham yang biasa di bandar Shanghai China. Beliau telah meniagakan saham selama 15 tahun. Pengalamannya mencerminkan seorang peniaga saham China yang semakin bertambah profesional melalui pelajaran dan praktis secara bersungguh-sungguh dan juga mencerminkan proses pembentukan pasaran modal China.
Sun Yumei "masuk kerja" tepat pada pukul 9:00 pagi seperti kebanyakan pekerja lain di bandar Shanghai. Beliau tidak perlu menaiki bas awam dan bahkan tidak perlu berjalan ke luar pintu rumahnya. Sun Yumei bekerja di rumah sebagai peniaga saham.
Bursa Saham Shanghai akan dibuka pada pukul 9:30. Sebelum itu, Sun Yumei telah membuka perisian komputer mengenai perniagaan saham. Beliau mendengar siaran radio tentang warta berita ekonomi dan kewangan sambil bersama dengan suaminya menunggu harga saham pembukaan dikeluarkan.
Beliau berkata: "Berita tentang Bank Rakyat China meningkatkan kadar faedah telah disiarkan semalam, maka harga saham hari ini akan dibuka rendah."
Indeks Saham A Bursa Shanghai memang dibuka rendah hari ini iaitu menurun sebanyak 78.86 mata. Hampir semua saham yang dimiliki Sun Yumei dibuka rendah dengan warna hijau. Namun, Sun Yumei tidak berasa bimbang.
Beliau berkata: "Kejatuhan harga saham sudah biasa bagi saya. Saya telah mengalami banyak kali kejatuhan harga. Baru-baru ini, apabila Bank Rakyat China meningkatkan kadar faedah, harga saham biasanya jatuh terlebih dahulu semasa bursa saham dibuka dan naik kemudian."
1 2 3 4
|