Cari:
Eropah Memperingati Mangsa Holokus
2014-01-29 14:42:33 CRI Cetak

27 Januari lalu merupakan Hari Peringatan Holokus Antarabangsa dan juga ulang tahun pembebasan Kem Tahanan Auschwitz. Jerman, Poland dan beberapa negara Eropah lain telah mengadakan aktiviti untuk memperingati tragedi pembunuhan besar-besaran Nazi dan mangsa kem tahanan tersebut.

Pada hari itu, bendera kebangsaan Jerman dikibarkan separuh tiang di Jabatan Presiden dan Canselor, kementerian-kementerian dan pelbagai jabatan kerajaan yang lain di Jerman. Pelbagai aktiviti peringatan turut diadakan di Berlin. Pada waktu petang, Parlimen Jerman mengadakan majlis peringatan yang turut dihadiri Presiden Jerman, Joachim Gauck dan Canselor Angela Merkel.

Seluruh masyarakat Jerman mengambil masa ini untuk merenung kembali sejarah. Seorang penasihat agensi komunikasi digital Berlin menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan tindakan kerajaan yang masih lagi memperingati mangsa Perang Dunia II. Baginya, sejarah dapat menjadi amaran untuk mengelakkan berulangnya tragedi yang sama pada masa depan.

Parlimen Jerman mengadakan sesi peringatan sempena 
Hari Peringatan Holokus Antarabangsa pada 27 Januari lalu.

Pengerusi Persatuan Mangsa Rejim Fasis dan Persekutuan Antifasis Berlin Forkmaar Hanisch berpendapat, memperingati mangsa Perang Dunia II merupakan tanggungjawab dan kewajiban kerajaan Jerman. Tindakan pemimpin Jepun yang menziarahi Yasukuni Jinja amat memalukan dan patut dikecam oleh masyarakat antarabangsa.

Wakil-wakil dari beberapa puluh negara pada hari yang sama berkumpul di Auschwitz, Poland untuk memperingati ulang tahun ke-69 pembebasan Kem Tahanan Auschwitz. Kem tahanan tersebut merupakan yang paling besar antara lebih seribu buah kem tahanan rejim Nazi. Lebih sejuta orang menjadi korban kem ini, kebanyakannya orang Yahudi. Pada 7 Disember 1970, Canselor Republik Persekutuan Jerman ketika itu, Willy Brandt dalam lawatannya ke Warsaw, Poland telah melutut di hadapan monumen bagi orang-orang Yahudi yang terbunuh untuk menyampaikan simpati kepada mereka. Ini telah menggemparkan seluruh dunia.

Daniil Granin, 95, warga Rusia yang selamat dalam holokus,
diundang menghadiri sesi peringatan di Parlimen Jerman.

Profesor Tomala dan isterinya Karin Tomala ialah pakar isu Jerman dari Poland. Karin Tomala berkata, tindakan Brandt memang telah membantu memulihkan hubungan antara kedua-dua negara dan juga mengubah pandangan seluruh dunia terhadap Jerman. Merujuk sikap pemimpin Jepun terhadap sejarah, Profesor Tomala berkata, meskipun perang sudah menjadi sejarah, pengalaman pahitnya tidak boleh dilupakan. Jika pemimpin Jepun mempunyai keberanian seperti Brandt, hubungan Jepun dengan negara-negara jiran yang pernah dicerobohinya pasti dapat dipulihkan. Ini bermanfaat bagi Asia Timur bahkan seluruh dunia.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China