Peribahasa Mandarin "Zou Ma Guan Hua" berasal daripada puisi seorang penyair zaman Dinasti Tang China. "Zou Ma" maksudnya kuda berlari kencang. "Guan Hua" pula maksudnya melihat-lihat bunga. Jadi kalau terus diterjemahkan, "Zou Ma Guan Hua" ialah menunggang kuda berlari kencang sambil menikmati bunga. Dulu-dulu, peribahasa ini menggambarkan perasaan orang yang riang gembira, namun sekarang ini ia tunjukkan kita memandang atau melihat suatu tempat dengan masa yang pendek sahaja, tidak sempat memerhati dengan teliti.
"Zou Ma Guan Hua" selalu digunakan dalam situasi yang berikut: kalau kita ikut serta dalam rombongan pelancongan berpakej, mungkin belum sempat kita menghayati tempat itu kita sudah perlu bertolak ke satu tempat lagi. Kita boleh kata kita melancong secara "Zou Ma Guan Hua".
Ada pendapat yang kata dengan cara ini kita tidak puas dan tidak dapat betul-betul menghayati sausana suatu tempat atau melihat pemandangan dengan teliti. Namun, cara ini masih ada kebaikannya, misalnya kita tidak perlu menjadualkan perjalanan atau menempah sendiri tempat penginapan atau apa-apa hal lain yang mungkin kita rasa melecehkan.
Sekarang ini, semakin hari semakin ramai orang memilih cara pelancongan mandiri sebab lebih inginkan kebebasan. Dengan cara ini, kita tidak terikat dengan aturcara seperti dalam pakej dan boleh memilih destinasi-destinasi dengan sesuka hati. Selain itu, kita pun dapat menghabiskan lebih banyak masa untuk menghayati suasana tempat asing.
Antara dua ini, mana satu cara yang saudara selalu ambil bila melancong? Melancong berpakej atau mandiri? Apakah sebabnya?
Apakah cerita yang menarik atau kenangan tidak akan dilupai saudara dalam perjalanan melancong?
Topik ini akan terus dibincangkan dalam ruangan "Salam" pada 6 Mei nanti. Mereka yang sudi berkongsi pendapat akan mendapat hadiah. Jangan lupa menulis nama dan alamat penuh anda dalam email, surat atau mesej anda.