Slogan "zaman dah berubah, lelaki dan wanita adalah sama" besar impak dan pengaruhnya pada orang ramai. Pada zaman moden ini, keupayaan wanita semakin menyerlah, khususnya dalam kerjaya, dan semakin ramai wanita mampu menduduki jawatan setaraf bahkan lebih tinggi daripada lelaki. Walau bagaimanapun, ramai wanita telah mula kembali ke rumah masing-masing untuk menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.
Suri rumah sepenuh masa sentiasa ditafsirkan sebagai isteri yang tidak bekerja atau pun berhenti bekerja demi menjaga rumah tangga. Di tanah besar China, tiga faktor mungkin mendorong wanita untuk menjadi suri rumah tangga.
Pertama, anak memerlukan perhatian. Disebabkan anak perlu dijaga dengan rapi sehingga berumur tiga tahun, sesetengah wanita rela mengorbankan kerjaya mereka. Lagipun, siapa lagi yang patut menjaga anak itu jika bukan ibunya sendiri? Sekiranya dibesarkan oleh ahli keluarga lain seperti datuk dan nenek, anak itu dipercayai akan kurang mesra dengan ibunya setelah besar. Maka, ramai wanita memilih untuk berhenti bekerja setelah melahirkan anak.
Kedua, menjaga suami merupakan antara peranan utama isteri. Lelaki yang berjaya biasanya mendapat sokongan dan penjagaan yang sempurna daripada isterinya. Oleh itu, ramai wanita memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa demi menjaga kehidupan suami.
Faktor ketiga pula, sesetengah wanita tiada pilihan selain menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, mungkin disebabkan ketiadaan peluang pekerjaan. Ada juga wanita yang mampu disara oleh keluarga sehingga tidak perlu bersusah-payah bekerja. Namun dalam situasi demikian, mereka menjadi suri rumah hanya untuk sementara. Sebaik sahaja diberi peluang, mereka biasanya akan memilih untuk bekerja.
Jika suri rumah tangga sepenuh masa dianggap sebagai suatu bentuk kerjaya, nilai pekerjaan mereka boleh mencatat RMB 9,600 sebulan. Penyelidikan sebuah laman web A.S terhadap 400 orang suri rumah sepenuh masa mendapati, sekiranya dibayar gaji, jumlah pendapatan mereka mencatat USD 134 ribu setahun. Sebenarnya tugas dan tanggungjawab suri rumah amat berat. Mereka perlu menguruskan pelbagai aspek kehidupan ahli keluarga. Wanita yang ingin berjaya sebagai suri rumah tangga perlu pintar dan cekap menguruskan pelbagai perkara dengan serentak.
Namun, suri rumah sepenuh masa tidak dapat mengelak daripada beban masalah. Peranan mereka sering dipandang rendah, dan mereka mudah terasing daripada masyarakat dan dunia luar sekiranya perhatian mereka terlalu tertumpu kepada rumah tangga. Paling tragik, sekiranya hubungan perkahwinan menghadapi masalah hingga mengakibatkan perceraian, keadaan suri rumah akan lebih buruk daripada pihak suami, kerana terpaksa hidup tanpa keluarga dan kerjaya.
Oleh yang demikian, ramai yang tidak bersetuju dengan pilihan menjadi suri rumah sepenuh masa bahkan menegah kebergantungan yang keterlaluan pada keluarga. Wanita yang ingin menjadi suri rumah tangga dicadangkan supaya meluangkan lebih banyak masa untuk aktiviti sendiri, aktif bergaul dengan kawan-kawan, dan bekerja secara sambilan supaya tidak ketinggalan.
Topik ini akan dibincangkan dalam ruangan Suara Sutera pada 25 Julai 2012 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan ikut serta dalam perbualan mengenai topik tersebut. Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn