Menurut sebuah laporan penyelidikan yang diumumkan oleh Bank Dunia, jika cukai ke atas produk tembakau bertambah 10%, kesan negatif akibat merokok akan berkurang 4% di negara berpendapatan tinggi, dan 8% di negara berpendapatan sederhana dan rendah. Katanya, sekiranya harga sebenar rokok meningkat 10%, 42 juta perokok dijangka akan berhenti merokok dan sekurang-kurangnya 10 juta orang dijangka akan terselamat daripada kematian akibat merokok di seluruh dunia. Oleh sebab itu, menaikkan cukai tembakau telah menjadi jalan yang biasa diambil oleh pelbagai negara di dunia untuk menangani isu ini.
Adakah kenaikan cukai tembakau benar-benar akan mengurangkan jumlah perokok? Pada hakikatnya, langkah tersebut tidak begitu berkesan. Sebagai contoh, cukai tembakau di Britain telah mencapai 80%, namun masih gagal menghalang orang daripada merokok. Sebaliknya, perokok akan membeli rokok yang lebih murah dari negara lain. Ini menyebabkan kegiatan penyeludupan rokok di negara itu semakin berleluasa.
Ketagihan tembakau akan memaksa para perokok terus membeli rokok walaupun dinaikkan harganya. Ini merupakan suatu tabiat yang tidak mudah diubah. Bagi perokok yang berpendapatan rendah, mereka akan membeli rokok murah, yang biasanya mengandungi tahap nikotina dan racun yang lebih tinggi. Dari segi ini, menaikkan cukai tembakau bukan sahaja kurang berkesan untuk mengurangkan jumlah perokok, tetapi juga mengorbankan kesihatan para perokok.
Topik ini akan dibualkan dalam ruangan Suara Sutera pada 20 Februari 2013 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan ikut serta dalam perbualan mengenai topik tersebut. Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn