(kompleks pintu gerbang di Tangyue)
"Intipati keindahan China terdapat di Huangshan". Begitulah terjemahan ungkapan yang terdapat pada ukiran batu di tebing Sungai Xin'an. Kami meneruskan kembara pada hari ke-2 untuk membuktikan kebenaran ungkapan itu.
(kompleks pintu gerbang dengan ladang bunga sesawi, membentangkan pemandangan yang indah permai kepada pelancong)
Seawal 8.10 pagi, kami bertolak ke destinasi pertama lawatan di bumi Huangshan ini. Bas pelancongan yang membawa rombongan kami membelah kabus menuju ladang sesawi di Shitan, kaunti Shexian. Kami tiba di Shitan kira-kira pukul 10.15 pagi. Wah, udara dingin menyapa wajah kami yang keletihan. Maklum saja, bangun awal selepas tidur lewat seusai tugasan pada hari pertama memang sukar. Namun, aroma segar dan udara dingin itu membuatkan kami teruja untuk menjejakkan kaki di celah-celah pokok sesawi.