Destinasi kedua kami ialah Taman Persendirian dan Himpunan Pintu Gerbang Keluarga Bao di Tangyue. Perkampungan ini didiami kebanyakannya oleh keluarga Bao. Keluarga ini melahirkan ramai wira dan tokoh terkenal dalam sejarah perkembangan China. Di taman ini terdapat tujuh buah pintu gerbang yang tersergam indah yang didirikan bagi mengenang kesetiaan, kejujuran, kebaikan dan kepatuhan terhadap ibu bapa. Salah sebuah pintu gerbang yang menarik perhatian ialah Pintu Gerbang Xiaozi yang dibina pada tahun 1534, bagi memperingati Bao Can, seorang anak yang taat dan menyayangi ibunya. Ibu Bao Can yang berumur 70 tahun menghidap sejenis penyakit di kaki hingga bernanah dan tidak dapat diubati. Bao Can sanggup menyedut nanah daripada kaki ibunya dan akhirnya penyakit si ibu sembuh.
(penulis asyik menikmati pemandangan yang indah di ladang bunga sesasi di Kaunti Shexian)