Groto Misteri atau (huā shān mí kū) terletak di tebing Sungai Xin'an. Kawasan ini merupakan gabungan gunung, sungai gua batu, ukiran batu, kuil dan pelbagai bangunan lama lain. Terdapat 36 buah groto di sini, namun yang paling terkenal adalah groto nombor 35. Ahli arkeologi percaya, groto ini sudah berusia 1,700 tahun. Groto Misteri mendapat namanya daripada mantan Presiden China, Jiang Zemin yang melawat tempat ini pada tahun 2001. Beliau menamakan groto ini sedemikian ekoran pelbagai misteri yang menyelubungi groto ini. Groto buatan tangan manusia ini merupakan groto terbesar di China. Di dalam lima buah groto yang dibuka untuk lawatan kepada awam, khususnya groto no 35 yang luasnya lebih 12 ribu meter persegi, terdapat kesan pahatan pada dinding dan bumbung. Sesetengah bahagian groto ini diliputi air jernih yang tidak kering walaupun dialir keluar. Malah, pada dasar groto terdapat anak tangga. Namun, hingga kini, misteri bagaimana groto ini dibuat masih belum terjawab walaupun terdapat tinggalan barangan seramik dan besi yang membuktikan groto ini dibuat oleh manusia dan bukan hasil tindak balas geografi.
(persembahan Huiyun, menghidangkan keindahan kebudayaan Huizhou kepada penonton)
Orang kata, pukul 8.00 malam masih muda, dan kehidupan malam baru bermula. Rombongan kami bertuah kerana berpeluang menonton "Picturesque Huizhou" iaitu pertunjukkan lagu dan taridra yang mula dipersembahkan pada tahun 2009. Pertunjukkan yang terdiri daripada lima adegan yang saling berkait ini menggabungkan seni muzik, tarian, drama epic, akrobatik, drama moden Huizhou, Opera Beijing, cerita rakyat dan opera bunga. Pertunjukan penuh warna-warni, bertenaga, dan mengharukan perasaan ini perlu ditonton untuk anda memahami dan menghayati budaya, sejarah dan pandangan dunia Anhui dalam suasana santai. Nah, betul atau tidak ungkapan di atas, kunjungi Huangshan dan nilailah sendiri.