Perdagangan dengan cara tukar-menukar barang yang amat popular pada zaman purbakala telah hidup semula di zaman serba moden ini melalui internet. Golongan yang gemar tukar-menukar barang turut diberikan gelaran khusus, iaitu "Huan Ke" yang merujuk kepada "orang yang tukar-menukar barang". Huan Ke biasanya memegang pendapat bahawa "sampah sarap" cuma barang yang tidak digunakan oleh tuannya, namun amat berguna dan diperlukan oleh orang lain. Tukar-menukar barang dianggap situasi yang "menang-menang-menang" bagi kedua-dua pihak yang tukar-menukar dan juga barang itu sendiri.
Pernah sebuah set kosmetik ditukar dengan sebuah patung permainan, beberapa batang lolipop ditukar dengan tiket persembahan, bahkan ada orang menggunakan sebatang jarum peniti merah untuk mendapatkan hak menggunakan sebuah vila untuk beberapa tahun melalui beberapa kali tukar-menukar. Nampaknya barang yang ditukar tidak perlu sama nilai dari segi ekonomi. Bagi para peminat tukar-menukar barang, mereka mengamalkan teori "keperluan menentukan nilai". Di samping itu, mereka lebih mementingkan kegembiraan dan keseronokan yang diperolehi daripada proses tukar-menukar barang dengan orang lain.
Walaupun "tukar-menukar barang melalui internet" mula berkembang di dunia Barat, namun ia juga telah kian popular di China sehingga terdapat banyak laman web yang menyediakan ruangan khusus bagi pertukaran barang.
Pada masa yang sama, para peminat tukar-menukar barang pula dinasihati memilih rakan pertukaran dengan teliti, dan seelok-eloknya dari bandar yang sama supaya pertukaran boleh dilakukan dalam pertemuan berhadap-hadapan.
Topik ini akan dibualkan dalam ruangan Suara Sutera pada 17 April 2013 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan ikut serta dalam perbualan mengenai topik tersebut. Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn