bunga kamelia
Kota Huangshan bukan sekadar diwarnai kuningnya bunga sesawi yang saujana mata memandang. Malah setiap di kauntinya pasti ada ladang atau kebun sesawi. Di kiri kanan jalan, malah di celah-celah rumah ditanami sesawi. Namun, siapa sangka di kaunti Huizhou kami menemui "Kamelia", yang pelbagai warna.
Destinasi pertama kami di Taman Bunga Kamelia Huizhou seluas 260 hektar, taman bunga kamelia yang terbesar di China. Ahli rombongan kami, termasuk para "kumbang" begitu teruja melihat bunga pelbagai warna yang sedang berkembang. Warna merah, merah jambu, putih, merah berbintik putih, kelopak selapis dan berlapis-lapis memang membuatkan kami asyik menjerit kecil "wow". Kami juga beruntung kerana dibawa melawat taman ini ketika waktu puncak bunga berkembang, iaitu pertengahan hingga hujung Mac. Kelihatan banyak bunga yang gugur bertaburan di tanah kerana bunga ini hanya bertahan selama 10 hari.