(Oleh Farah)
Kalau patung tanah liat boleh berbicara, barangkali kedatanganku ke Muzium Patung Tanah Liat Perwira dan Kuda Maharaja Qinshihuang pada hari ini akan disambut dengan kata-kata seperti "Hai, datang lagi kau ini?" dan "Kali ini kau bawa kawan-kawan baharu?" Atau mungkin para perwira terracotta ini akan mengeluh keletihan setelah berdiri dalam kesiagaan selama 2,200 tahun, menyaksikan segala macam perubahan yang berlaku dalam dunia manusia?
Rombongan Kembara Laluan Sutera melawat ke Muzium Patung Tanah Liat Perwira dan Kuda Maharaja Qinshihuang
Orang kata, Xi'anlah tempatnya bagi sesiapa yang ingin mempelajari sejarah China, jadi setiap kali ke sini, pastilah tapak-tapak bersejarah akan kulawati. Kunjungan ke Muzium Patung Tanah Liat Perwira dan Kuda pada hari ini merupakan kunjunganku yang kelima. Walaupun sudah berkali-kali melihat patung-patung yang sama, tetapi aku tetap tidak jemu, membuktikan benarlah kata-kata bahawa semakin kita kenal akan sesuatu itu, semakin dalamlah perasaan cinta terhadapnya. (Seperti slogan program Kenali Beijing bersama CRI!)
Farah dan Melur cuba kenali patung tanah liat dengan lebih dekat supaya lebih 'cinta'