Pit 1 yang sebesar dua padang bola sepak
Kalau patung tanah liat boleh berbicara, ingin kuminta para perwira ini laungkan nama mereka padaku. Yang menjadikan pasukan askar tanah liat ini benar-benar ajaib, bukanlah bilangannya yang besar, atau rupanya yang mirip dengan manusia sebenar, tetapi hakikat bahawa antara beribu-ribu patung ini tiada dua yang serupa. Kalau warna patung-patung ini bukan seperti warna tanah liat, pasti disalah sangka perwira dan kuda hidup. Wajah setiap satu patung ini mempunyai ciri-ciri tersendiri seperti bentuk mata atau hidung yang berlainan, yang membolehkan kita meneka dari tempat mana di China datangnya mereka itu. Halusnya hasil tangan tukang dan seniman, aku tidak akan berasa hairan sekiranya setiap patung ini ada nama sendiri, seperti manusia juga.
Lihat sahaja betapa halusnya hasil tangan tukang dan seniman yang menghasilkan patung terracotta ini
Kalaulah patung tanah liat boleh mendengar, ingin kuucapkan "jumpa lagi" kepada mereka, kerana dengan izin Allah, akanku kembali ke muzium ini suatu hari nanti.