Kalaupun patung tanah liat boleh berbicara, pastilah mereka hanya membisikkan segala rahsia yang disimpan selama ribuan tahun ini kepada ahli arkeologi. Hasil kaji purba memberitahu kita bahawa patung-patung terracotta ini asalnya berwarna-warni, namun pudar apabila terdedah kepada cahaya dan udara. Oleh sebab teknologi pemuliharaan artifak yang sedia ada tidak cukup untuk memastikan patung-patung ini dapat dikekalkan dalam keadaan asalnya yang cantik, kerja penggalian sudah dihentikan supaya tidak merosakkan baki patung yang masih tersembunyi di dalam tanah. Walaupun aku tamak dan ingin mereka keluarkan semua patung yang ada supaya dapat aku lihat rupanya, namun langkah yang mereka ambil itu amat bijak, kerana warisan ini tidak boleh menjadi korban akibat ketamakan orang sepertiku.
Patung-patung terracotta ini asalnya berwarna-warni, namun pudar apabila terdedah kepada cahaya dan udara
Replika yang menunjukkan warna asal perwira terracotta
Seperti yang sudah kukatakan, memang tidak sama perasaannya melihat patung-patung ini tegak terpacak di depan mata. Aku yang sudah lima kali berjumpa dengan si pemanah, dan bergaya di depan lensa kamera dengan sang kuda tanah liat di belakangku, masih lagi terpegun saat melangkah masuk ke Pit 1 yang sebesar dua padang bola sepak. Mungkin tidak sama perasaannya dengan orang yang baru melihat patung ini buat pertama kalinya, namun rasa kagum itu tetap tidak luntur.