(OLeh Farah)
Jalan Sutera yang digunakan oleh pedagang-pedagang pada zaman silam
Tarikh hari ini akan tercatat sebagai tarikh yang penting dalam riwayat hidupku, kerana pada hari ini hajat untuk memijak pasir di Jalan Sutera seperti pedagang-pedagang pada zaman dahulu kala akhirnya terkabul.
Sepasang kaki ini akhirnya dapat memijak pasir di Jalan Sutera
Mungkin aku terpengaruh dengan filem-filem klasik yang mengisahkan pengembaraan atau hidup manusia di padang pasir, kerana selama ini aku membayangkan padang pasir itu tandus, hanya ada pasir dan tiada tumbuh-tumbuhan langsung.
Kubu Yumenguan dilihat dari jauh
Aku silap. Kubu Yumenguan, destinasi pertama rombongan Kembara Laluan Sutera di Dunhuang ini, dikelilingi pokok-pokok kecil berduri yang tumbuh liar. Landskap di sini jauh lebih hijau daripada padang pasir yang kubayangkan dahulu. Bahkan, ada juga tasik berhampiran kubu ini.