Runtuhan tembok Dinasti Han yang dibina kira-kira dua ribu tahun lalu masih boleh dilihat di Dunhuang
Satu lagi sangkaanku yang juga meleset, semua padang pasir di dunia ini terbentuk daripada pasir yang beralun, kelihatan halus dan lembut seolah-olah helaian sutera. Sebenarnya padang pasir banyak jenisnya, kerana di sesetengah tempat, penghakisan batu dan bukit sehingga hancur menjadi pasir belum selesai. Di tempat-tempat seperti itu, wujudlah bukit-bukit batu yang aneh bentuknya dan permukaan tanah yang diliputi batu-batu halus.
Suatu hari nanti, batu-batu halus ini juga akan hancur menjadi pasir
Di padang pasir Gobi Hitam yang kami lawati hari ini, terdapat bentuk bumi unik yang dipanggil Yardang. Yardang dalam bahasa Uygur bermakna "gunung kecil yang curam", nama ini memang menggambarkan rupa bentuk bumi tersebut.