Hati-hati, pokok-pokok ini semuanya berduri!
Kubu ini dinamai Yumen atau Pintu Jed kerana pedagang yang membawa jed berharga dari Hetian di Xinjiang ke Chang'an, ibu kota China dahulu (bandar Xi'an sekarang) melalui Jalan Sutera, mesti lalu di sini. Dapat mengayunkan langkah di laluan yang sama, besar maknanya bagi peminat sejarah sepertiku, walaupun aku sendiri bukan pedagang dan tidak pula membawa jed atau barang-barang berharga.
Pedagang-pedagang pada zaman silam mesti lalu di pintu ini dalam perjalanan melalui Jalan Sutera
Aku juga sangka, oleh sebab cuaca padang pasir yang ekstrem, binaan manusia di sini tidak dapat bertahan lama. Aku tersilap lagi. Runtuhan tembok yang dibina pada zaman Dinasti Han Barat kira-kira dua ribu tahun lalu, masih boleh dilihat di Dunhuang hingga ke hari ini meskipun sebahagiannya tidak lagi utuh. Aku ingin tahu, bagaimana tembok ini dapat bertahan sekian lama sedangkan dibuat daripada tanah dan rumput atau mensiang, bukan batu seperti Tembok Besar di Beijing.