Cari:
Zaidah: Festival Layang-layang Beijing, Menggamit Nostalgia
2016-04-25 13:36:07 CRI Cetak

(Oleh Zaidah Ahmad)

Apabila dimaklumkan akan mengunjungi Festival Layang-layang Antarabangsa Beijing 2016, secara tiba-tiba fikiran saya melayang ketika berada di tapak Festival Layang-layang Pasir Gudang kira-kira 13 tahun yang lalu. Pada ketika itu, pertama kali akan menyaksikan festival layang-layang yang turut disertai peserta dari luar negara. Dalam fikiran timbul pelbagai persoalan tentang festival tersebut kerana yang biasa dilihat hanya layang-layang yang bermain di halaman rumah dan dimainkan oleh orang Malaysia sahaja.

Setelah menyaksikannya dengan mata kepala sendiri, barulah saya faham begini rupanya festival layang-layang, yang mana sebarang objek boleh diterbangkan ke udara, tidak semestinya layang-layang tradisional. Memang seronok dan mengagumkan melihat pelbagai bentuk layang-layang moden seperti cicak gergasi diterbangkan ke angkasa raya, berbeza dengan pengalaman sebelum ini yang hanya melihat layang-layang tradisional melayang-layang lembut di awan biru.

Bercerita tentang pengalaman bermain layang-layang, sejujurnya saya tidak pernah berjaya menerbangkan layang-layang, tetapi saya sering juga bermain layang-layang dengan kawan-kawan di kawasan perumahan semasa zaman bersekolah rendah dahulu. Ternyata memang sukar untuk menaikkan layang-layang, dan yang lebih menyedihkan lagi apabila baru sahaja mahu terbang, tiba-tiba tersangkut pula di celah-celah pokok lalu rosak. Pada ketika itu, hendak minta duit lagi pada emak untuk membeli layang-layang baharu memang tidak berani. Maka, saya pun tumpang bermain layang-layang kawan-kawan dan tolong memegang layang-layang mereka sebelum dilepaskan ke udara. Walaupun begitu, kenangan bermain layang-layang pada zaman kanak-kanak memang tidak pernah luput dalam diari kehidupan saya.

Berbalik pada Festival Layang-layang Antarabangsa Beijing 2016, saya memang teruja untuk menyaksikan festival tersebut sambil mengimbau kembali nostalgia lalu. Festival tersebut yang diadakan di Tapak Ekspo Taman Beijing, daerah Feng Tai telah berjaya menarik penyertaan kira-kira 15 buah negara antaranya termasuklah Malaysia, Thailand, India, Amerika Syarikat (AS), Britain, Poland, Afrika Selatan, Australia, Jepun, dan sebagainya, selain penyertaan 25 pasukan tempatan dari 14 provinsi dan kawasan antaranya termasuklah Beijing, Hubei, Hebei, Shaanxi, dan sebagainya, tidak ketinggalan 3 pasukan yang mewakili Hong Kong, Makau dan Taiwan.

Naib Presiden Persatuan Persahabatan Beijing, Su Bensheng, sedang menyampaikan ucapan pada majlis perasmian

Sepanjang berada di festival tersebut, saya bukan sahaja dapat melihat keunikan layang-layang yang diterbangkan, malah yang lebih penting interaksi antara peserta dan pengunjung juga seperti sudah lama saling mengenali. Para pengunjung tidak segan-segan untuk bertegur sapa dan beramah mesra dengan para peserta, masing-masing rancak berbual-bual serta berkongsi pengalaman dan cerita, tidak kurang juga yang mengambil peluang ini untuk membidik lensa yang dibawa bagi merakamkan pelbagai aksi dan momen indah di festival tersebut.

Suasana kemeriahan Festival Layang-layang Antarabangsa Beijing 2016 yang diadakan di Tapak Ekspo Taman Beijing, daerah Feng Tai

Antara layang-layang yang menarik perhatian para pengunjung

1 2 3 4
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China