Kashgar – Hidangan malam yang melazatkan ditambah persembahan muzik tradisional masyarakat Kashgar menjadi penawar keletihan selepas menempuh perjalanan udara yang jauh untuk sampai di bandar Kashgar, Wilayah Autonomi Xinjiang, China.
Hidangan yang enak
Seawal pukul 4.00 pagi penulis bangun dari tidur untuk memastikan tepat pukul 5.15 pagi sudah berada di lobi Hotel Radio Antarabangsa China (CRI) bagi memulakan perjalanan ke Kota Kashgar, Wilayah Autonomi Xinjiang, China, dalam kerangka Kembara Muslim di China 2011, 1 hingga 11 November 2011. Perjalanan ke terminal tiga Lapangan Terbang Antarabangsa Peking mengambil masa hampir satu jam. Suasana dingin pagi sungguh menyamankan. Bersama-sama teman-teman dari Radio Televisyen Malaysia, Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), majalah Libur Karangkraf, Encik Yap dari Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, dengan dipandu oleh dua orang kuat Bahagian Bahasa Melayu, CRI; Puspa dan Satria, perasaan penulis tidak sabar-sabar untuk menjejak laluan sutera yang sebelum ini hanya diketahui melalui pembacaan dan tontonan dokumentari di televisyen.
Suasana di terminal tiga amat sibuk. Kini, barulah penulis merasai sendiri dan dapat menggambarkan betapa banyaknya penduduk negara China. Di Beijing sendiri terdapat 26 juta orang penduduk yang menyamai jumlah penduduk Malaysia! Maka, tidak hairanlah juga pemeriksaan polis dan imigresen di lapangan terbang dikawal ketat demi keselamatan penumpang. Terminal tiga amat besar, penulis perlu berjalan dan kemudian menaiki bas pengangkut sebelum menaiki kapal terbang.