Tanpa disedari penerbangan sudah hampir dua jam, dan menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Diwobao, Kashgar. Penulis difahamkan oleh penduduk Kashgar, jika menaiki keretapi dari Umurqi ke Kashgar jaraknya 1588 kilometer dan memakan masa selama 24 jam! Uh, bertuah penulis kerana menggunakan laluan udara.
Pemuzik tradisional
Inilah destinasi yang diimpi-impikan, laluan sutera. Bersyukur kepada Tuhan kerana dapat menjejak kaki ke sini. Hati gembira tidak terkata dapat menjejak ke daerah laluan sutera yang terletak di Wilayah Autonomi Xinjiang, yang keluasannya satu per lima daripada keluasan negara China. Bersama-sama rombongan wartawan Malaysia ialah rombongan wartawan dari Indonesia.
Lokasi pertama yang dituju ialah hotel penginapan di bandar Kashgar. Jumlah penduduk di bandar ini ialah 600,000 orang, 63% terdiri daripada masyarakat Muslim. Pemandangannya indah, kebanyakan penduduk Muslim sibuk membuat persiapan hari raya Aidiladha atau lebih dikenali di sini dengan hari raya Qorban yang akan disambut pada 7 November 2011, hari Isnin. Gerai-gerai di tepi jalan dipenuhi penduduk tempatan untuk membeli-belah. Seperti kata Syukur, hari raya Qorban di sini amat meriah, cuti umumnya selama tiga hari. Pada tahun ini, ditambah dengan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad, menjadikan cuti hari raya Qorban selama lima hari. Tidak sabar penulis untuk melihat sendiri kemeriahan suasana tersebut, tetapi kembara penulis akan diteruskan ke wilayah Ningxia pada masa itu.