Cari:
Abdul Ghani Abu: Mencari Puteri Kashgar
2011-11-05 14:55:43 CRI Cetak

Kashgar – Seperti kebiasaannya, penulis menggemari kopi sebagai minuman waktu pagi. Seronok apabila ada kopi dihidangkan semasa sarapan di hotel penginapan. Terus penulis mengisi penuh secawan kopi, lalu memasukkan "gula". Apabila sampai di meja makan, penulis dan wartawan dari Indonesia pun sama-sama merasai kopi. Alangkah terkejut penulis, apabila rasa kopinya masin! Rupa-rupanya yang disangka "gula" adalah garam. Begitulah pepatah memesan, lain padang lain belalang.


Di Makam Apak Hoja

Hari ini lawatan diteruskan mengikut jadual. Tempat pertama dilawati ialah Makam Purba Apak Hoja, yang terletak kira-kira lima kilometer dari bandar Kashgar. Perjalanan menuju makam dipenuhi kawasan perumahan penduduk Kashgar. Suasana dingin pagi menyambut kedatangan kami ke kawasan makam yang sungguh indah, nyaman dihiasai pokok-pokok dan tenang daripada hiruk pikuk kota Kashgar.

Keluasan kawasan makam ini ialah 72 kilometer persegi yang mengandungi tanah perkuburan waris-waris Apak Hoja, menara, dan masjid. Selain itu, di kawasan ini terdapat bilik kelas agama, bilik ibadah dan bilik syarahan agama. Dewan makamnya pula amat besar, ditutupi dengan kubah marmar hijau dan berkeluasan; 35 meter panjang, 29 meter dalam dan 26 meter tinggi. Makam ini diperbuat daripada simen dan batu-bata.

Menjejak masuk di sebelah kiri, terdapat Masjid Yesdak, yang bermaksud masjid kemewahan. Terdapat dua bahagian masjid. Pertama, masjid yang digunakan ketika musim sejuk yang dibina pada 1623, dan kedua, masjid yang digunakan ketika musim panas yang dibina pada 1927. Masjid ini boleh memuatkan kira-kira 3000 orang jemaah pada satu-satu masa. Masjid ini merupakan masjid yang paling cantik di Kashgar kerana pemandangan semula jadi yang indah dan ukiran batu dan kayu pada tiang dan siling yang sangat halus.


Tanah perkuburan masyarakat muslim

Makam Apak Hoja merupakan makam keluarga bangsawan yang besar. Sebanyak lima generasi Apak Hoja dimakamkan di sini. Ketika usianya, 27 tahun Apak Hoja menjadi gundik Maharaja Qianlong, dan bergelar Xiang Fei. Dikatakan Xiang Fei merupakan gundik ketiga daripada 41 orang gundik Maharaja Qianlong. Nama asal Apak Hoja yang berketurunan Uygur ini ialah Mamuraizaimhinim. Beliau dilahirkan dengan aroma bau badan yang wangi. Selama 28 tahun beliau tinggal di Beijing, dan meninggal dunia ketika usianya 55 tahun. Selepas kematiannya, jenazah Apok Hoja dibawa pulang ke Kashgar untuk dimakamkan. Dari Beijing ke Kashgar mengambil masa tiga tahun setengah menggunakan jalan darat. Jenazahnya diawet dan diusung menaiki kereta kuda dengan diiringi 124 orang pengawal. Keranda dan lampu yang digunakan masih tersimpan di makam ini. Terdapat dua keranda, iaitu untuk membawa jenazah dan membawa pakaian.

Bangunan makam ini dibina pada 1640 Masihi, dan telah dibaikpulih selama dua kali, iaitu pada 1956 dan 1997. Yang uniknya, pembinaan makam ini menggunakan 67 adunan warna yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan dan 772 corak pelbagai jenis marmar yang menghiasi dinding makam. Corak tersebut mengambil unsur pemandangan semula jadi.

Bersebelahan makam ini terletak tapak perkuburan untuk orang awam. Tapak ini berusia 500 tahun dan dikenali oleh penduduk tempatan sebagai tahtikuwrukmazarzik. Di bahagian atas pintu gerbang masuk terdapat ayat dalam tulisan parsi. Pintu gerbang ini telah berusia hampir 200 tahun. Walaupun telah dibaikpulih namun terdapat beberapa marmar asal yang rosak. Walaupun diganti baharu, namun tidak sama dengan corak asalnya.

1 2 3 4 5
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China