Malam ini, rombongan Kembara Muslim 2011 berasa bertuah kerana diraikan dalam majlis makan malam anjuran Ketua Pengarah Biro Pelancongan Kashgar, Encik Jia Wei Dong. Turut hadir ialah Puan Cheng Li, Pengarah Penerangan Kawasan Kashgar, dan Puan Chong, Pengarah Penerangan Bandar Kashgar. Encik Jia menyambut kedatangan kami, dengan pepatah China yang berbunyi, "ada tetamu datang dari jauh, kami sangat gembira!."
Bersama-sama Encji Jia Wei Dong (kanan)
Menurut beliau, Kashgar kini sedang berkembang pesat. Kerajaan China sedang giat membangunkan ekonomi Kashgar dengan hasrat menjadikan Kashgar sebagai hub pengangkutan udara yang menghubungkan China dengan Eropah. Jarak perjalanan udara antara Kashgar dengan Fraknfurt, Jerman, hanyalah enam jam! Selain itu, melalui dasar pembangunannya, kerajaan China mewujudkan rangkaian bandar berkembar antara bandar Shenzen yang sudah maju dengan bandar Kashgar yang sedang membangun. Melalui dasar ini proses pertumbuhan ekonomi akan bertambah rancak dan sektor pelancongan dapat dilonjakkan sebagai pemangkin pembangunan utama di Kashgar.
"Di belakang Kashgar terdapat 1.4 bilion penduduk China, manakal di hadapan Kashgar terdapat 1.3 bilion penduduk Eropah. Oleh sebab itu, Kashgar harus menjadi jambatan yang menghubungkan kedua-dua penduduk dunia ini," jelas Encik Jia. Pada tahun lalu, Radio Antarabangsa China (CRI) membuat tinjauan melalui laman sesawang tentang bandar mempesona di China, dan bandar Kashgar menduduki tempat 10 yang teratas patut dilawati.