JINGJIANG PUSAT SIMETRI
Rombongan kami turut dibawa melawat ke kota lama Guilin yang juga merupakan tapak kediaman anak saudara kepada Maharaja Zhu Yuanzhang - maharaja pertama dinasti Ming.
Kompleks seluas enam hektar ini dibina oleh Yuanzhang sebagai membalas jasa kekanda baginda yang sanggup mengorbankan nyawanya dalam membantu usaha maharaja itu menaiki takhta.
Kebanyakan struktur utama kompleks ini telah musnah dalam peperangan saudara yang tercetus pada lewat kurun ke-16 dan penjarahan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua pada tahun 1945 dan telah dibina semula. Cuma pintu gerbang utama, dinding kubu dan laluan batu sahaja yang tidak terjejas.
Apabila Dinasti Ming digantikan oleh Dinasti Qing, kompleks yang menjadi titik tengah Guilin ini dijadikan pusat peperiksaan bagi rakyat China yang mahu mengambil Peperiksaan Pusat. Kesan pertukaran fungsi itu dapat dilihat pada bukit batu kapur yang terletak di belakang bangunan utamanya.
Di sekeliling tebing bukit yang menjadi titik rujuk bagi kesejajaran binaan tersebut, para pelawat boleh melihat sejumlah 220 puisi yang ditulis menggunakan kaligrafi Cina kuno diukir oleh para cendiakawan silam serta pelajar yang berjaya dalam peperiksaan tersebut.
Semua itu dapat kami lihat dalam lawatan hari pertama kembara ini. Guna imaginasi dan cuba bayangkan betapa lebih mengujakan dan menyeronokkan jika anda dapat berada lebih lama di bandar yang berkubukan gunung-ganang dan dua sungai utama daerah Selatan China ini.