Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong), Tan Sri Pheng Yin Huah semalam menyeru pihak berkuasa mengamalkan dasar bebas visa kepada pelancong dari China.
Beliau berharap agar kerajaan melonggarkan syarat yang harus dipenuhi pelancong China untuk menikmati layanan bebas visa bagi membolehkan mereka memanjangkan tempoh berada di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelancong China dikecualikan visa untuk melawat Malaysia mulai 1 Mac hingga 31 Disember tahun ini, namun tertakluk kepada syarat tertentu bagi tempoh kunjungan tidak melebihi 15 hari.
Menurut Tan Sri Pheng Yin Huah, dalam tempoh tujuh bulan selepas dasar itu diperkenalkan, jumlah pelancong China yang melawat Malaysia telah mencecah 1.3 juta orang, meningkat 6% berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.