Siapakah “Dalang” Yang Mengganggu Kedamaian di Laut China Selatan?

2024-04-19 15:18:42  CRI
Share with:

Cuba tengok kapal-kapal kecil nelayan Filipina ini, adakah sesuai untuk menangkap ikan di tengah laut? Tapi mereka muncul di Terumbu Ren’ai, lokasi terkandasnya kapal perang era Perang Dunia Kedua milik Filipina BRP Sierra Madre (LT-57) sejak 1999.

 

Dalam laporan media Filipina, kapal-kapal nelayan dikatakan terganggu dengan kehadiran kapal Pengawal Pantai China. Malah pegawai Kawalan Pantai Filipina, Jay Tarriela menyatakan, kapal-kepal ini hanya berbaris untuk mendapatkan subsidi minyak dari kapal Jabatan Sumber Ikan dan Akuatik. Jadi adakah nelayan Filipina dibuli oleh China?

 

Yang peliknya, mengapa nelayan-nelayan ini perlu berlayar ke tengah laut untuk mendapatkan subsidi minyak? Bukankah lebih mudah, segala urusan pemberian subsidi itu dilakukan di pejabat di daratan? Lebih menghairankan, begitu ramai wartawan termasuk CNN membawa dron di lokasi pemberian subsidi itu.

 


Apa yang jelas adalah mereka telah dipujuk untuk menjadi pelakon dalam drama “Nelayan Filipina Dibuli China”, dengan tidak sedikit pun mempertimbangkan tentang keselamatan para nelayan.

 

Jika China ingin membuli atau bersikap keras berhubung pertikaian laut, sudah tentu BRP Sierra Madre sudah “lenyap” sejak awal lagi. Namun China sebaliknya menjaga keamanan kedua-dua negara dengan mengadakan rundingan bersama Filipina berhubung masalah itu dalam tempoh 25 tahun ini, sekaligus untuk mengelak kekacauan serantau.

 

Untuk pengetahuan semua, ketika BRP Sierra Madre baru terkandas, Filipina telah berjanji kepada China bahawa kapal itu akan segera meninggalkan Terumbu Ren’ai selepas ia selesai dibaiki. Namun dari November 1999 hingga kini, BRP Sierra Madre masih berada di sana.

 

Malah, Duta Besar China ke Filipina pada waktu itu telah bertemu dengan Menteri Luar Filipina, Domingo Siazon untuk menggesa Filipina bagi mematuhi janjinya. Menurut Siazon, kapal itu telah hampir siap dibaiki dan akan meninggalkan Terumbu Ren’ai dalam tempoh seminggu. Pertemuan itu turut disertai oleh Ketua Pengarah Pejabat Presiden Filipina.

 

Tetapi yang mengecewakan, segala usaha diplomatik bilateral telah dinafikan oleh kerajaan dibawah pimpinan Ferdinand Romualdez Marcos Jr. Bahkan ada Senator negara itu yang memaklumkan lokasi BRP Sierra Madre yang terkandas patut dijadikan kutub Filipina di Laut China Selatan. Jika difikirkan, sekiranya sebuah kapal perang yang terkandas, dimuktamadkan sebagai wilayah pemilikan dan kedaulatan sesebuah negara, China pastinya mempunyai kapal perang yang jauh lebih banyak.

 

Semasa era pemerintahan Rodrigo Duterte, persefahaman telah dicapai ketika sesi lawatan beliau ke Beijing, dengan mengatakan Filipina tidak ingin memelihara kapal yang terkandas dan China mengizinkan bekalan keperluan harian dihantar untuk anak kapal. Malah China dan Filipina bersetuju untuk tidak mengambil tindakan yang boleh menegangkan situasi kedua-dua negara termasuk rondaan bersenjata.

 

Persefahaman yang dicapai ini dibuktikan lagi dengan kawalan keamanan di kawasan perairan tersebut bahkan ia terus berkuatkuasa dalam tempoh 7 bulan selepas Ferdinand Romualdez Marcos Jr mengangkat sumpah, namun selepas itu ia tiba-tiba ditolak.

 

Meskipun begitu, keazaman China untuk mengawal keamanan dan kestabilan masih kekal utuh. China juga telah mengundang utusan khas Presiden Filipina ke Beijing dan mencapai persefahaman pada tahun lalu. Tidak terkecuali, China juga mengadakan rundingan dengan pihak tentera Filipina mengenai model baharu bekalan untuk kapal yang terkandas di Terumbu Ren’ai pada awal tahun ini.

 

Tapi semua usaha tersebut dinafikan sekali lagi setelah dilaksanakan sekali saja.

 

Jadi adakah terdapat kuasa yang lain sedang mengganggu Filipina mencapai penyelesaian damai dengan China di Laut China Selatan?

 

Satria mendapat isyarat yang amat bahaya, iaitu Amerika Syarikat telah menempatkan sistem peluru berpandu MK-41 di Filipina baru-baru ini.