Naik Taraf Hubungan, Bersama Menuju Modenisasi

2024-09-06 14:29:27  CRI
Share with:

Sidang Kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) 2024 membuka tirainya di Beijing pada Khamis.


Presiden Xi Jinping menerusi ucaptama mengesyorkan supaya hubungan bilateral antara China dan semua negara Afrika yang menjalin ikatan diplomatik dengannya ditingkatkan ke tahap perkongsian strategik, sementara hubungan China-Afrika dinaik taraf kepada komuniti berkongsi nasib sepanjang masa untuk era baharu.


Pada masa ini, China mempergiat usaha ke arah membina negara kuat dan mewujudkan kebangkitan bangsa menerusi modenisasi bercirikan sendiri, manakala Afrika pula bergerak menuju matlamat pemodenan yang ditetapkan Agenda 2063 Kesatuan Afrika (AU).


Modenisasi merupakan matlamat bersama China-Afrika, dan juga keperluan bagi membina komuniti berkongsi nasib sepanjang masa untuk era baharu.


Apakah gambaran modenisasi yang dikejar China dan Afrika? Soalan itu dijawab dalam sidang kemuncak kali ini iaitu pemodenan dengan menonjolkan ciri-ciri saksama dan munasabah, terbuka dan sama menang, berpaksikan rakyat, pelbagai dan terangkum, mesra ekologi serta aman dan selamat.

Untuk menterjemahkan visi modenisasi, Presiden Xi mengemukakan 10 tindakan perkongsian yang bakal dilaksana dalam tempoh tiga tahun akan datang.


Tindakan berkenaan mencakupi aspek saling belajar sesama tamadun, kemakmuran perdagangan, kolaborasi rantaian perindustrian, kesalinghubungan, kerjasama pembangunan, kesihatan, pertanian dan kebajikan rakyat, pertukaran sosiobudaya, pembangunan hijau serta keselamatan bersama.


Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres yang turut hadir menyatakan kerjasama antara China dengan Afrika membantu mengurangkan ketidakadilan yang dialami Afrika dalam sejarah sehingga mewujudkan kedamaian dan pembangunan di benua itu.


Cetak biru yang dirangka dalam sidang kemuncak FOCAC di Beijing bukan sahaja menunjukkan hala tuju usaha sama China-Afrika malah mengintegrasikan pembangunan China, Afrika serta dunia dengan lebih rapat.