China, Afrika Bergandingan Menuju Modenisasi

2024-09-04 12:27:56  CRI
Share with:

Sidang Kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) 2024 yang bakal membuka tirainya di Beijing menyediakan peluang baharu kepada kedua-dua pihak untuk berganding bahu menggerakkan pemodenan dan membina komuniti berkongsi nasib China-Afrika pada tahap tinggi.

 

FOCAC yang melalui pembangunan selama 24 tahun, kini memiliki sebanyak 55 anggota. Mengapa kerjasama China-Afrika menjadi semakin erat?

 

Ia lahirnya daripada semangat persaudaraan yang terserlah apabila kedua-dua pihak memperjuangkan pembebasan bangsa, serta tuntutan sama dalam pembangunan ke arah modenisasi.

 

Lebih-lebih lagi, China dan Afrika menggalas tanggungjawab untuk menjaga kepentingan bersama negara membangun dan mengejar keadilan antarabangsa.

 

Dalam tempoh sedekad lalu, China dan Afrika membantu antara satu sama lain dalam usaha mewujudkan pembangunan ekonomi dan kebangkitan semula bangsa, sambil terus meneroka bidang kerjasama baharu.

 

Dicatatkan bahawa syarikat China menandatangani dokumen kontrak bernilai lebih AS$700 bilion (RM3.04 trilion) bagi pelaksanaan projek di Afrika sejak 2013 hingga 2023.

 

Projek berkenaan turut membawa manfaat kepada lebih 900 juta rakyat Afrika dan memacu pembangunan sosioekonomi tempatan.

 

China dan Afrika mempunyai persepsi yang sama terhadap banyak isu utama antarabangsa dan rantau, mengamalkan multilateralisme jitu serta menolak legasi kolonialisme dan pelbagai bentuk amalan hegemoni, selain mahukan hak bersuara negara membangun terus dipertingkat.

 

Menerusi sinergi kedua-dua pihak, hak dan kepentingan sah negara membangun akan dijaga dan dipelihara dengan lebih baik, sekali gus menjadikan orde antarabangsa lebih adil dan munasabah.