Pertukaran Fikiran dan Budaya Rapatkan Rakyat China-Perancis
Penyanyi Perancis, Joyce Jonathan baru-baru ini mencuri tumpuan ramai apabila berjaya menyanyikan lagu China menerusi satu program realiti TV di China. Rupa-rupanya ada cerita disebalik keupayaannya menyanyikan lagu China dengan cukup baik itu.
Menurut Joyce, bapanya lulusan Universiti Tsinghua, ibunya pernah membuka agensi pelancongan dan budaya “La maison de la Chine” pada akhir 1980-an, bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai orang Perancis berkunjung ke China. Iba bapanya kenal di China.
Hakikatnya, orang China juga sebenarnya tidaklah asing terhadap budaya Perancis. Satria masih ingat lagi lagu “Je m’appelle Helene” yang sangat popular ketika Satria masih kecil. Malah ketika penyanyi lagu itu, Hélène Rollès mengadakan konsert di Beijing pada 2015, beliau tidak menyangka begitu ramai peminatnya dalam kalangan orang China, boleh menyanyikan lagu itu bersama-samanya.
Bukan itu sahaja, setiap orang China juga pernah membaca nukilan Alphonse Daudet yang bertajuk “Kelas Terakhir” dalam buku teks sekolah menengah. Kisah itu menceritakan mengenai kelas Bahasa Perancis yang terakhir buat “Little Franz”, yang merupakan seorang kanak-kanak Perancis. Ini kerana, kampung halamannya di Alsace bakal diserahkan kepada Prussia selepas tanah airnya tewas dalam perang. Malah mereka juga dilarang untuk mempelajari sebarang bahasa Perancis.
Kalau nak tahu, orang China juga mempunyai kisah yang hampir sama dengan “Little Franz”, justeru itu hubungan rakyat kedua-dua negara mudah menjadi lebih rapat dan saling memahami. Ketika menulis artikel ini, Satria lantas teringat jawapan Zhou Enlai, Perdana Menteri Pertama Republik Rakyat China sewaktu beliau masih kecil. Ketika ditanya mengapa perlu belajar? Jawapannya cukup mudah namun memberi kesan yang mendalam terhadap masyarakat China iaitu “belajar untuk kebangkitan China”.
China dan Perancis, masing-masing merupakan antara penyumbang penting bagi perkembangan tamadun Timur dan Barat. Malah kedua-dua negara ini saling mempelajari dalam fasa yang lebih awal.
François-Marie Arouet atau yang lebih terkenal dengan nama Voltaire merupakan pemimpin penting bagi “Zaman Pencerahan Eropah” (abad ke-17 dan ke-18). Namun yang menariknya, beliau juga merupakan seorang “peminat” Konfucius. Beliau menggunakan ajaran Konfucius untuk melawan pentadbiran autoriti Kristian di Eropah pada ketika itu. Voltaire juga amat menyanjung tinggi pentadbiran China yang mengutamakan ajaran Konfucius, namun pada masa sama mengawal kebebasan beragama seperti Buddha, Taoisme, Buddha Tibet dan lain-lain.
Sarjana Perancis, Virgil Pinot pernah berkata:
“Semasa mengkaji karya-karja para pemikir dan pakar ekonomi Perancis pada abad ke-18, kami amat terkejut kerana mendapati mereka kerap kali menyanjung tinggi China. Nampaknya China lebih popular berbanding Britain pada masa itu.”
Perancis merupakan negara yang bebas terhadap pelbagai jenis fahaman sejak abad ke-18. Justeru ramai belia China melanjutkan pengajian mereka ke Perancis dalam tempoh lebih 100 tahun yang lalu, untuk meneroka ilmu moden dan juga pendekatan menyelamatkan bangsa China.
Justeru di sana, sebahagian kaum belia China telah mendekati teori Maxisme. Antaranya termasuk Zhou Enlai, Deng Xiaoping dan lain-lain yang akhirnya memberi sumbangan besar kepada penubuhan dan pembangunan Republik Rakyat China.
Pada 60 tahun yang lalu, Jeneral Charles de Gaulle menggalakkan Perancis menjadi kuasa barat pertama yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China. Dengan latar belakang Perang Dingin, bukanlah pilihan mudah bagi beliau untuk mengambil keputusan tersebut secara berdikari. Bagaimanapun fakta telah membuktikan ini pilihan yang berpandangan jauh. Hubungan China-Perancis telah menjadi jambatan komunikasi antara Timur dengan Barat dan ia akan terus menggalakkan hubungan antarabangsa ke arah kerjasama dan dialog.