Persahabatan dan Kepentingan Bersama, Asas Hubungan China-Eropah

2024-05-08 15:57:24  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping dan isterinya, Puan Peng Liyuan meneruskan sesi lawatan ke Tarbes atas undangan rakan sejawatannya, Emmanuel Macron, selepas agendanya di Paris selesai. Tarbes merupakan kampung halaman kepada nenek Macron, individu yang paling rapat dengannya selain telah membesarkannya.

 

Selepas menikmati makanan khas dan budaya tempatan selain menghayati keindahan pemandangan salji di Gunung Tourmalet, Macron dan isterinya Puan Brigitte, kemudiannya menghantar Presiden Xi dan Puan Peng ke lapangan terbang, bagi meneruskan lawatan mereka ke Serbia.

 

Selain persahabatan akrab antara pemimpin kedua-dua negara, China dan Perancis juga telah berhasil membentuk kerjasama dalam pelbagai bidang antaranya biologi dan laut, AI, pertanian dan banyak lagi. Semua itu dicapai dalam rangka lawatan Presiden Xi di Perancis. Malah, syarikat kedua-dua negara juga banyak memeterai perjanjian kerjasama seperti pengeluaran bahan untuk bateri kereta tenaga baharu (NEV).

 

Pada 8 Mei, 25 tahun yang lalu, pesawat Tentera Udara Amerika Syarikat, B-2 yang berlepas dari negara itu telah mengebom Kedutaan Besar China di Belgrad, yang ketika itu masih ibu negara Kesatuan Yugoslavia.

 

Susulan tragedi itu, kerajaan bandar Belgrade membina satu tugu di tapak tinggalan Kedutaan China pada 2009 yang tertulis “merakam sokongan dan persahabatan Republik Rakyat China terhadap rakyat Serbia dalam masa yang paling sengsara serta memperingati korban China di sini”.

 

Ramai rakyat China masih ingat kepada Presiden Serbia, Aleksandar Vucic, lelaki setinggi 2 meter yang cuba menahan air matanya daripada mengalir, sewaktu berlangsungnya sidang akhbar pada awal 2020. Katanya perpaduan negara-negara Eropah hanyalah “omong kosong” ketika menghadapi pandemik, namun akhirnya mengharapkan bantuan dari China.

 

Permintaan dari pemimpin itu mendapat respons segera dari China.

 

Lebih mengharukan, ketika pesawat yang membawa barang bantuan dan perubatan China tiba di Belgrade, Vucic sendiri telah menerima bantuan tersebut di lapangan terbang, malah beliau juga mencium bendera kebangsaan kedua-dua negara sebagai tanda terima kasih dan penghargaan.

 

Kalau dikatakan persahabatan China dan Perancis berasaskan persefahaman serta pertukaran budaya, maka persahabatan antara China dengan Serbia adalah hubungan persaudaraan yang erat dalam menghadapi cabaran keselamatan global.

 

Untuk rekod, Serbia merupakan rakan perdagangan bebas China yang pertama bagi rantau Eropah Timur dan Tengah. China pula menjadi pelabur terbesar dan rakan dagang kedua terbesar bagi Serbia pada tahun lalu.

 

Serbia juga menjadi hab “Jalur Ekonomi Jalan Sutera”. Pada 21 Mac, kereta api kargo China-Eropah yang memulakan perjalanan dari Shijiazhuang, Provinsi Hebei, China telah menghantar produk dari sekitar Beijing ke Eropah melalui Serbia, secara rutin.

 

Manakala pada 26 April, kereta api kargo China-Eropah yang berlepas dari Zhengzhou, Provinsi Henan juga memulakan operasi secara rutin ke Belgrade, dengan membawa produk dari kawasan tengah China.

 

Lebih istimewa, kereta api kargo tersebut juga akan membawa balik produk khas tempatan dari negara-negara sekitar Serbia ke pasaran China, seperti madu, wain, daging lembu dan kambing.

 

Menghormati keutuhan, kedaulatan dan kebebasan sesuatu wilayah dalam menjalin persahabatan dan kepentingan bersama, merupakan asas hubungan China dengan rakan-rakan di Eropah. Ini juga asas pembentukan Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan.