AS “Berpura-pura” Tidak Faham Kenyataan Pemimpin Asia?
“Justeru harapan kami adalah agar China dan Amerika Syarikat (AS) dapat menyelesaikan perselisihan antara mereka, dan menghormati sikap daya saing masing-masing.” Demikian kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia – ke 29 (Persidangan Nikkei) di Tokyo, baru-baru ini.
Berdasarkan kenyataan di atas, Satria yakin anda semua pasti faham, siapakah yang dimaksudkan oleh DSAI.
Malah, perdana menteri baharu Singapura, Lawrence Wong Shyun Tsai juga memberikan kenyataan yang sama seperti DSAI, pada persidangan yang sama tahun lalu.
Menurut beliau, pelbagai negara perlu mengutamakan kepentingan diri dan jaminan keselamatan terhadap sektor perdagangan, pelaburan dan teknologi seperti semikonduktor. Sasaran untuk mengurangkan risiko selain mencipta kepelbagaian memang tiada masalah, namun apabila timbul kebimbangan yang melampau, dikhuatiri akan memecah belahkan dunia dan memberi kesan tidak baik terhadap ekonomi.
“Pelbagai negara” yang dimaksudkan oleh Lawrence Wong juga sebenarnya cukup jelas, iaitu AS.
Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Asia ini nampaknya susah difahami oleh negara tersebut.
Penasihat Hal-Ehwal Keselamatan AS, Jake Sullivan baru-baru ini menyatakan bahawa beliau tidak terkejut melihat negara-negara di Amerika Latin, Eropah, Asia dan pastinya AS yang memandang serius mengenai isu “kapasiti pengeluaran berlebihan” oleh China dan akan bersama-sama mengambil tindakan yang perlu bagi menangani perkara ini.
Sememangnya kesombongan AS ini selalu mengejutkan ramai pihak. Namun persoalannya, adakah kenyataan para pemimpin Asia ini memperlihatkan sokongan mereka terhadap AS?
Sebelum ini pelbagai usaha dilakukan AS untuk mewujudkan sekatan terhadap cip semikonduktor, kapas Xinjiang dan pelbagai produk lain dari China dengan alasan “keselamatan negara” atau “perhambaan pekerja”, namun kini AS tampil dengan alasan terbaharu iaitu “kapasiti pengeluaran berlebihan” kenderaan elektrik (EV), bateri dan fotovolta dari China, dengan harapan untuk mengenakan sekatan terhadap kesemua industri ini.
Pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia – ke 29 (Persidangan Nikkei) di Tokyo baru-baru ini, wakil China, Zhou Xiaochuan ada menyatakan mengenai keperluan pasaran terhadap fasiliti fotovolta, tenaga angin, bateri dan EV yang sangat besar di ASEAN, Afrika dan rantau membangun yang lain. Malah kenyataan ini jelas berbeza dengan apa yang diwar-warkan oleh AS sebagai “kapasiti pengeluaran berlebihan”. Bukan itu sahaja, malah banyak negara yang berminat untuk membangunkan fasiliti pengeluaran yang lengkap bagi merangsang perkembangan pasaran yang jelas berupaya melindungi alam sekitar.
Hakikatnya fahaman AS selalu bercanggah dengan negara-negara lain, namun tetap sombong seolah-olah mereka mewakili masyarakat dunia.