China Mahu Cepatkan Pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib China-UAE

2024-05-31 12:00:15  CRI
Share with:


Presiden China Xi Jinping berkata China bersedia bekerjasama dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk memperkukuh kesalingpercayaan politik, berganding tangan untuk membina komuniti berkongsi nasib China-UAE.


Beliau berkata demikian dalam rundingan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Beijing, pada Khamis.


Xi menyatakan, China menyokong UAE menempuh jalan pembangunan bebas, menyokong negara itu memelihara kedaulatan negara, keselamatan dan kepentingan pembangunan. 


"UAE ialah rakan kongsi strategik komprehensif yang penting bagi China. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan kedua-dua negara mengekalkan trend perkembangan baik dan menjadi teladan bagi hubungan antara China dan negara-negara Arab pada era baharu," kata Xi.


Beliau menekankan bahawa China bersedia berganding bahu dengan UAE untuk mempromosikan pembinaan berkualiti tinggi inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan, agar mendorong kerjasama kedua-dua pihak melakar lebih banyak hasil.


"Selain itu, kita harus merapatkan kerjasama dalam sektor perdagangan, tenaga, dan prasarana, di samping meluaskan kerjasama melibatkan sektor teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan tenaga baharu," kata Xi.



Sheikh Mohamed pula menyatakan bahawa beliau berbesar hati dapat berkunjung lagi China, kampung halaman kedua beliau dan bersama-sama Presiden Xi untuk menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Peringkat Menteri Ke-10 Forum Kerjasama China-Negara Arab. 


"Hubungan antara negara-negara Arab dan negara-negara Teluk dengan China mempunyai asas yang kukuh. Perkembangan hubungan dua hala selaras dengan aspirasi dan kepentingan asas rakyat negara Arab dan negara-negara Teluk. 


"UAE bersedia berganding bahu dengan China untuk mengintensifkan hubungan Arab-China dan Teluk-China untuk membawa limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua pihak," kata Sheikh Mohamed.



Selepas rundingan itu, pemimpin kedua-dua negara bersama-sama menyaksikan pemeteraian beberapa dokumen kerjasama dua hala dalam bidang pelaburan, BRI, sains dan teknologi, penggunaan tenaga nuklear secara damai, pendidikan bahasa Mandarin, kebudayaan dan pelancongan.