Pemain Uygur, Pahlawan Pasukan Bola Sepak China

2024-06-12 14:25:02  CRI
Share with:

Semalam para peminat sukan bola sepak China menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pasukan Singapura. Ini susulan satu gol yang berjaya disumbat Singapura ketika menentang Thailand telah mengesahkan slot pasukan China ke pusingan seterusnya bagi kelayakan Piala Dunia 2026.

 

Ikhasan Fandi yang menjaringkan satu gol ketika menentang pasukan Thailand, dianggap sebagai “Raja Bola Sepak Asia” oleh peminat bola sepak China. Malah, mereka juga merancang untuk memborong nasi lemak dari kedai DAPUR HASSAN, ketika mengetahui bahawa penjaga gol Singapura, Hassan Sunny merupakan penjual nasi lemak.

 

Namun, kemenangan dalam arena bola sepak ini tidak semuanya bergantung kepada nasib baik atau prestasi pasukan lain. Bagi Satria, penghargaan tertinggi patut diberikan kepada Behram Abduweli, pemain dari etnik Uygur yang membuat kemunculan pertama mewakili pasukan kebangsaan China dalam perlawanan menentang Thailand pada minggu lalu dan berjaya menjaringkan satu gol, sekaligus memberikan harapan kepada pasukan China untuk layak ke pusingan seterusnya.

 

Behram Abduweli merupakan antara empat pemain Uygur yang terpilih bagi menyertai pasukan kebangsaan China U23. Sebelum ini, Behram pernah menyatakan bahawa impiannya pada 2024 adalah untuk memberikan persembahan yang terbaik dalam liga bola sepak China, sekaligus membantu pasukan U23 mencapai keputusan yang baik dalam Piala Asia. Malah pemuda ini juga pernah meletakkan harapan untuk menyertai liga luar negara pada masa depan.

 

Namun, dia tidak sangka terpilih sebagai pemain Uygur pertama yang menyertai pasukan bola sepak kebangsaan China pada tahun ini, bahkan mencipta rekod baharu iaitu sebagai pemain Uygur pertama yang berjaya menjaringkan gol.

 

Dapat dilihat, sukan bola sepak berkembang dengan pesat dalam berbelas tahun kebelakangan ini, seiring dengan kerancakan pendidikan sukan di China. Kanak-kanak pelbagai etnik turut dilihat bersama-sama bermain bola sepak sama ada di kampus sekolah atau di padang pasir.

 

Di China terdapat mekanisme bantuan pasangan, dimana satu bandar atau kaunti perlu membantu satu kaunti di Xinjiang. Lebih menarik, pengembangan latihan bola sepak merupakan salah satu bentuk bantuan tersebut. Misalnya Shanghai, setiap tahun akan memberi latihan bola sepak profesional kepada para pelajar dan guru dari 16 buah sekolah kaunti Yecheng, Kashgar, Xinjiang. Manakala provinsi Guangdong pula, pada setiap tahun akan menganjurkan perlawanan bola sepak di peringkat sekolah rendah dan menengah di kaunti Shufu, Kashgar, Xinjiang.

 

Dengan peruntukan kerajaan yang semakin bertambah, fasiliti dan penganjuran perlawanan tempatan yang semakin profesional, ia secara tidak langsung menggalakkan ramai pemain Xinjiang yang berbakat untuk tampil menonjolkan kepakaran mereka sekaligus berpeluang untuk menyertai perlawanan bola sepek di peringkat yang lebih tinggi seperti di arena antarabangsa.