Permainan Elektronik Bantu Promosi Budaya Klasik China
Baru-baru ini permainan elektronik, Black Myth: Wu Kong edisi mewah telah dibuka untuk penempahan di salah satu platform e-dagang China. Sehingga kini lebih 1 juta pemain telah ‘berlumba-lumba’ untuk menempah permainan tersebut ekoran kuota yang dibuka hanyalah 100 ribu sahaja.
Black Myth: Wu Kong yang merupakan permainan berdasarkan novel klasik China yang bertajuk “Hikayat Jelajah ke Barat” telah menarik perhatian ramai sejak ia diumumkan tiga tahun lalu. Malah permainan tersebut turut memenangi anugerah “Best Visuals” dalam Gamescom 2023 di Köln, Jerman.
Bagaimanapun ketika semua mata tertumpu kepada permainan Black Myth: Wu Kong yang mendapat sambutan hangat, sebuah media terkenal di Perancis yang khusus untuk permainan elektronik iaitu IGN Perancis, telah mengulas mengenai video promosi terkini permainan tersebut dan mengatakan bahawa “terlalu bahaya meletakkan besi sakti ini dalam telinga”
Ulasan ini jelas mencerminkan perilaku Barat yang sama sekali tidak berminat untuk mengkaji dan memahami budaya tradisional Timur. Malah ulasannya itu telah membuatkan ramai penggemar permainan tersebut tidak puas hati. Akhirnya IGN Perancis memohon maaf dan menyatakan yang mereka tidak akan mengulas apa-apa lagi mengenai permainan elektronik China ini.
Mungkin IGN tidak faham yang hampir setiap orang di China pernah mempunyai impian untuk menjadi Raja Monyet ketika masih kecil. Ini kerana ‘watak’ ini mempunyai personaliti yang gagah, berani, berwibawa, tekad dalam menghadapi apa juga kesukaran selain setia kepada rakan-rakan.
Dalam edaran naskhah buku serta pelbagai karya lain berasaskan novel klasik ini seperti drama televisyen, filem, permainan video dan lain-lain, “Hikayat Jelajah ke Barat” dan Wu Kong atau dikenali sebagai Raja Monyet, sememangnya terkenal di Asia Timur dan Asia Tenggara.
Pengarah permainan video tersohor Jepun, Hideo Kojima berkata selepas menonton video promosi terkini, dia gembira kerana akhirnya permainan berdasarkan novel klasik tersebut akan dipasarkan selepas 3 tahun penantian. Hideo berkata, generasinya amat suka kisah Wu Kong dan ia penuh dengan kenangan dan kegembiraan.
Katanya, dia amat tertarik dengan Black Myth: Wu Kong selepas pertama kali menonton video promosi permainan tersebut pada tiga tahun yang lalu.
“Hikayat Jelajah ke Barat” yang tertulis oleh Wu Chengen (1504-1582) merupakan antara empat novel klasik agung dalam kesusasteraan China. Ia menceritakan mengenai kisah bagaimana Wu Kong menjaga sami Xuanzang (atau dikenali Tang Sanzang) dan menghapuskan pelbagai bentuk gangguan seperti hantu, ketika dalam perjalanan ke dunia Barat(India) untuk membawa pulang kitab suci Buddha, sekaligus memperlihatkan budaya China yang sungguh Istimewa pada zaman dahulu.
Dalam novel tersebut turut menceritakan perihal sami Xuanzang yang dihantar oleh Maharaja Dinasti Tang (618-907). Pada waktu itu, ajaran Konfusius diamalkan dalam pentadbiran kerajaan.
Manakala pemerintah kayangan adalah Maharaja Jed dari fahaman Taoisme dan semua dewa-dewa China berasal dari agama tersebut.
Malah dalam kisah itu, agama Buddha dari India turut dihargai. Buddha-buddha dari India menjalinkan kerjasama dengan pemerintah dari kayangan yang berfahaman Taoisme untuk menghapuskan hantu selain menyelamatkan rakyat dari kesengsaraan.
Namun, apa yang paling bermakna dalam penjelajahan sami Xuanzang ke India adalah untuk memahami keadaan dan adat resam pelbagai negara yang dilalui sepanjang perjalanannya ke sana. Semua pengalaman tersebut dicatat oleh sami Xuanzang dalam bukunya selepas ia pulang dari penjelajahannya.
Ia secara tidak langsung menggalakkan hubungan yang harmoni dengan pelbagai negara jiran, menjadikan Dinasti Tang antara dinasti yang paling makmur dalam sejarah China.