Kerjasama Media Kukuhkan Persahabatan China-Malaysia

2024-06-18 14:55:27  CRI
Share with:

Dokumentari “Cerita Antara Kita” sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, bakal ditayangkan di TV1 malam ini. Ia merupakan hasil kerjasama media kedua-dua negara iaitu Kumpulan Media China(CMG) dan Radio Televisyen Malaysia(RTM).

 

Pagi tadi peneraju CMG, Liang Liang atau mesra disapa Husna Liang telah ditemu bual secara langsung menerusi panggilan skype, dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia. Husna telah menceritakan mengenai pengalamannya sepanjang penggambaran bersama krew dari RTM bagi episod pertama dokumentari “Cerita Antara Kita” yang dilakukan di kampung halaman panda Sheng Yi iaitu provinsi Sichuan.

 

Malah Penerbit Rancangan Unit Majalah dan Dokumentari TV, Bahagian Program TV RTM yang terlibat dalam penggambaran di Sichuan, Azry Ahmad Mustafa pula menyatakan CMG mempunyai ramai staf yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan ini amat memudahkan kerjasama kedua-dua pihak.

 

Lebih istimewa, dokumentari tersebut juga bakal ditayangkan dalam majlis sambutan lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia pada malam ini. Sebelum ini pada 31 Mei, lagu tema dokumentari ini yang dinyanyikan oleh Husna Liang dan Aina Abdul telah ditayangkan pada Malam Gala Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Beijing yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

 

Sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia, peneraju dari CMG yang fasih tutur bahasa Melayu, banyak kali menjadi tular dalam kalangan netizen Malaysia, terutamanya Husna Liang. Beliau bukan sahaja muncul dalam dokumentari dan MV tersebut, malah berkesempatan membuat temu bual eksklusif dengan TPM Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan ramai lagi.

 

Selari dengan perkembangan multimedia, pertukaran sosiobudaya telah diperluaskan dari platform tradisional kepada platform sosial media, dan ini amat membantu meningkatkan persefahaman serta mengurangkan jurang salah faham antara kedua-dua negara.

 

Dalam rangka lawatan rasmi ke China pada Mei lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelajar dan rakyat Malaysia di China sebagai duta kecil dan mereka perlu menjaga imej negara dengan menolak segala tohmahan,  sikap prejudis dan salah faham berkaitan Malaysia.

 

Malah dalam temu bual eksklusif dengan CMG, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut meluahkan rasa bangganya terhadap CMG yang kini berkembang menjadi media arus perdana antarabangsa yang berpengaruh, mampu melawan propaganda Barat dan menyampaikan fakta yang tidak berat sebelah kepada masyarakat antarabangsa.

 

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyatakan bahawa Barat terus berusaha mengawal suara di arena antarabangsa dan ini tidak boleh diterima lagi. Ini bukan zaman penjajahan lagi dan negara-negara yang merdeka patut bebas bersuara.

 

Manakala Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memuji peranan Husna Liang sebagai jejambat rakyat kedua-dua negara dalam platform media sosial dan berharap lebih ramai belia yang boleh fasih bertutur bahasa asing, sekaligus mempereratkan persahabatan kedua-dua negara.