Isu Laut China Selatan Boleh Diselesaikan Secara Damai

2024-07-01 15:08:51  CRI
Share with:

Dalam satu forum yang berlangsung di Beijing pada hujung minggu lalu, seorang wakil Filipina menyatakan bahawa pada 1990-an, mereka berjaya menghalau orang Amerika Syarikat(AS) dari negara mereka. Bagaimanapun kini, pangkalan ketenteraan AS di Filipina telah bertambah kepada 9 lokasi. Dalam keadaan sebak, beliau berkata, sebagai rakyat Filipina dan orang Asia secara amnya, beliau tidak mahu tanah airnya menjadi medan pertempuran.

 

Satria ingat lagi, bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pernah melontarkan soalan dalam satu forum serantau pada hujung tahun lalu, katanya “Are you sure you (Filipinos) want to get into a fight where you will be the battleground?”

 

Hakikatnya China, ASEAN dan semua negara di rantau ini tidak mahu negara sendiri menjadi medan pertempuran. Justeru, pertikaian yang berlaku di Laut China Selatan sebenarnya boleh ditangani secara damai, dengan cara kita sendiri.

 

Kes yang berlaku di perairan Pulau Huangyan pada 29 Jun merupakan contoh terbaik. Sebuah bot nelayan Filipina yang sedang tenggelam ekoran letupan pada enjin kapal, telah diselamatkan oleh kapal Pengawal Pantai China 3105, dan kemudiannya sebuah kapal Filipina lain diizinkan untuk menunda bot nelayan tersebut pulang ke pesisir laut.

 

Susulan daripada insiden tersebut, kapal Filipina yang menyediakan bantuan  tersebut menyampaikan ucapan terima kasih atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan oleh kapal Pengawal Pantai China 3105.

 

Seharusnya itulah cara kita bekerjasama dalam mengawal keamanan di Laut China Selatan. Menjadi boneka kuasa luar rantau ini yang menghasut sehingga mengakibatkan ketegangan, tidak membawa faedah kepada rakyat Filipina dan negara serantau.

 

China merupakan pengimport terbesar dan pengeksport kedua terbesar Filipina pada 2023. Bagaimanapun, perdagangan China-Filipina menurun 10.3% berbanding perdagangan China-ASEAN yang meningkat 4.8%.

 

Menurut laporan media tempatan, pegawai diplomat Filipina baru-baru ini menyatakan bahawa negara itu berharap untuk terus meneroka pasaran buah-buahan tropika di China, dan pada masa sama juga menarik pelaburan China khususnya dalam bidang tenaga solar, bateri dan EV yang dikenakan sekatan oleh AS.

 

Imee Marcos, kakak kepada Presiden Filipina dan juga Pengerusi Hubungan Luar Senat Filipina pula menyatakan, trend membiarkan emosi mengatasi kerasionalan dalam isu Laut China Selatan adalah sesuatu yang berbahaya. Filipina sepatutnya menolak ‘hadiah’ dari kuasa luar kerana inilah yang menjadi punca kepada konflik yang berlaku di seluruh dunia. Justeru isu laut China Selatan memerlukan dialog serantau bagi mencari penyelesaian secara damai dengan sekutu yang lebih tepat. Semua pihak yang terbabit perlu berusaha untuk mendapatkan penyelesaian terbaik yang lebih harmoni, bukannya menjurus kepada situasi yang lebih buruk.

 

Manakala bekas Presiden Filipina, Rogrigo Duterte menyatakan, China sebenarnya merupakan negara yang amat mesra dengan rakyat Filipina. Katanya beliau rasa berdukacita kerana AS menghasut kerajaan Filipina ketika ini untuk mewujudkan ketegangan kedua-dua negara. Beliau juga berpendapat, AS tidak mungkin berjuang untuk melindungi Filipina dengan mengorbankan kepentingan sendiri.