Tarian Mexico dipersembahkan dalam perarakan Festival Pelancongan Antarabangsa Beijing ke-13 di Qianmen, Beijing
Kesebatian antara warisan tradisi dan kehidupan moden dapat dilihat dengan jelas dalam masyarakat di Beijing terutamanya apabila menyelusuri lorong-lorong sempit di kawasan Shichahai dengan menaiki beca.
Di kawasan tersebut rumah-rumah lama dan cara kehidupan tradisi orang-orang Beijing dipelihara untuk dilihat dan dihayati oleh generasi kini walaupun kawasan lain di Beijing telah membangun dengan pesat sekali.
Unsur-unsur budaya kawasan penempatan di situ dapat diperhatikan menerusi adanya batu-batu bulat atau empat segi berukir di pintu masuk rumah yang melambangkan jawatan pemilik rumah dalam kerajaan waktu dulu, begitu juga hiasan di bumbung pintu gerbang masuk ke kawasan rumah.
Konsep rumah yang berada di sudut utara, selatan, timur dan barat manakala halaman berada di tengah-tengah dengan tempayan berisi ikan hiasan, serta pokok-pokok yang membawa simbol kebahagian keluarga masih kekal dipelihara di kawasan ini.
Di kawasan itu juga terdapat taman tasik yang cantik yang menjadi antara tarikan utama pelancong ke Beijing. Salah satu restoran yang sangat popular di tepi tasik ini adalah restoran Kaorouji yang menyediakan hidangan kambing panggang yang sungguh istimewa.
Daging kambing yang hendak dibakar akan dihiris-hiris terlebih dahulu dengan cermat menggunakan tangan dan akan dipanggang atas dapur keluli yang istimewa manakala kayu api yang digunakan hanyalah dari jenis kayu pokok bunga untuk memberi aroma yang unik kepada daging yang dipanggang itu.