Bao Zheng, Pegawai yang Tersohor pada Zaman Silam China

2018-03-29 10:15:02  CRI
Share with:

Bao Zheng, Pegawai yang Tersohor pada Zaman Silam China

Bao Zheng merupakan seorang pegawai yang dihormati dan dipuji oleh rakyat jetala China dalam masa seribu tahun yang lalu. Beliau merupakan seorang pegawai yang adil dan amanah. Beliau sentiasa menjalankan pentadbiran berdasarkan undang-undang, menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang bersalah dengan tidak menghiraukan kritikan dan fitnah yang tidak tepat terhadap beliau dan tidak takut akan tekanan yang diberikan oleh pegawai kanan.

 

Bao Zheng dilahirkan pada tahun 999 Masihi iaitu zaman Dinasti Song Utara. Pada zaman silam di China, ketaatan dan kewajipan terhadap ibu bapa merupakan akhlak baik yang diambil berat oleh masyarakat. Semasa berusia 28 tahun, Bao Zheng telah lulus daripada peperiksaan kerajaan dan memperoleh kelayakan untuk menjawat jawatan sebagai pegawai kerajaan. Akan tetapi, beliau menyayangi ibu bapanya yang berusia lanjut dan telah melepaskan peluang untuk menjawat jawatan sebagai pegawai kerajaan bagi menjalankan kewajipan terhadap ibu bapanya. Tanggungjawab itu dieruskan sehingga ibu bapanya meninggal dunia. Selepas itulah beliau bersedia untuk menjawat jawatan sebagai pegawai.

 

Pada zaman Dinasti Song Utara, rakyat jelata dikenakan cukai yang tinggi, pemberontakan oleh tentera dan petani sentiasa berlaku dan ini mengakibatkan situasi masyarakat tidak stabil. Dalam menghadapi situasi masyarakat yang sedemikian, Bao Zheng berhasrat untuk melaksanakan pembaharuan masyarakat, melantik orang yang adil dan berbakat sebagai pegawai dan melucutkan jawatan pegawai yang khianat dan curang. Dalam bidang ekonomi, beliau juga berhasrat untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan pemerasan terhadap rakyat jelata. Manakala dalam bidang ketenteraan dan dasar luar, beliau berhasrat untuk meningkatkan kekuatan negara dan pendapatan rakyat serta kemampuan pertahanan kebangsaan. Akan tetapi, penguasa yang kurang bijaksana dan kemampuan pada masa itu tidak dapat menerima cadangan pembaharuan yang dikemukakan oleh beliau.

 

Bao Zheng, Pegawai yang Tersohor pada Zaman Silam China

 

Semasa Bao Zheng baru dilantik sebagai pegawai kerajaan, seorang sanak saudaranya telah didakwa kerana melanggar undang-undang. Bao Zheng telah menjatuhkan hukuman setimpalnya terhadap sanak saudaranya berdasarkan undang-undang. Dengan berbuat demikian, sanak saudaranya yang lain tidak berani lagi melakukan kegiatan secara sewenang-wenang.

 

Semasa menjawat jawatan sebagai pegawai kerajaan tempatan, Bao Zheng sentiasa mengurangkan beban rakyat dan menjalankan pembaharuan. Manakala semasa menjawat jawatan sebagai pegawai kerajaan pusat, beliau banyak kali mengemukakan cadangan kepada maharaja untuk mengurangkan hak istimewa pegawai kanan yang diberikan oleh maharaja kepada pegawai kanan.

 

Pada tahun 1056, Bao Zheng yang ketika itu berusia 57 tahun telah dilantik sebagai Datuk Bandar Kaifeng, ibu negara pada masa itu. Dalam tempoh yang singkat iaitu lebih setahun sahaja Bao Zheng menjawat jawatan itu, beliau telah membicarakan beberapa kes pelanggaran undang-undang yang dilakukan oleh pegawai kanan dan menjatuhkan hukuman keras terhadap mereka berdasarkan undang-undang, sehingga menakutkan golongan bangsawan dan pegawai kanan yang melakukan jenayah. Bao Zheng terkenal kepada kalangan rakyat di Kaifeng dan digelar sebagai "Pak Bao".

 

Bao Zheng, Pegawai yang Tersohor pada Zaman Silam China

 

Pada tahun 1062, Bao Zheng yang menjawat jawatan Naib Perdana Menteri telah meninggal dunia kerana menghidap penyakit. Para pegawai yang adil dan orang awam di Kaifeng berasa sangat sedih. Berdasarkan catatan sejarah, pada masa itu, di mana-mana bandar Kaifeng kedengaran orang ramai mengesal kerana "Pak Bao" yang disayangi dan dihormati oleh mereka telah meninggal dunia.

 

Pada zaman feudal silam di China, undang-undang pelaksanaan pentadbiran negara tidak begitu sempurna. Dalam sistem pentadbiran sedemikian, Bao Zheng sebagai seorang pegawai yang adil dan amanah telah dipuji dan dihormati oleh rakyat jelata kerana beliau berani mengemukakan cadangan kepada maharaja dan sentiasa menjalankan pentadbiran berdasarkan undang-undang. "Pak Bao" yang dikisahkan secara turun-temurun dalam kalangan rakyat telah disanjung tinggi sebagai pegawai ideal oleh rakyat jelata China. Kisah tentang "Pak Bao" telah digubah sebagai opera tradisional di China.

系统管理员