Dr. Sun Yat-sen

2018-03-29 10:22:55  CRI
Share with:

Pada setengah abad kedua abad ke-19, sistem feudalisme yang diamalkan selama lebih 2000 tahun sedang menuju ke akhir zamannya. Negara-negara kapitalisme di Barat sedang mengalami perkembangan yang pesat. Mereka telah menjalankan peluasan dengan kelengkapan senjata yang maju. China yang semakin merosot ketika itu telah menjadi "daging" yang direbut oleh negara-negara Barat dan akhirnya menjadi tanah jajahan negara-negara Barat yang di bawah pemerintahan sistem feudalisme. Dr. Sun Yat-sen telah dilahirkan pada zaman itu.

 

Dr. Sun Yat-sen dilahirkan pada tahun 1866 dalam keluarga petani di Provinsi Guangdong, selatan China. Keluarganya sangat miskin, semua ahli keluarga tinggal dalam sebuah pondok. Sehingga mencapai usia lebih 10 tahun, beliau baru dibelikan kasut. Anda pasti boleh membayangkan betapa sukarnya bagi seseorang anak untuk berjalan tanpa memakai kasut di kawasan pergunungan. Dr. Sun Yat-sen pernah memberitahu isterinya bahawa oleh sebab kehidupannya yang miskin itu, sejak kecil beliau telah berazam untuk menghapuskan penderitaan rakyat China bagi membolehkan kanak-kanak negara ini mendapat makanan yang mencukupi dan mempunyai kasut. Sayang sekali, Dr. Sun Yat-sen tidak dapat melihat azamnya menjadi kenyataan walaupun berjuang sepenuh hati sepanjang hayatnya.

 

Dr. Sun Yat-sen

 

Pada zaman Dr. Sun Yat-sen dahulu, ramai orang China yang tinggal di kawasan pesisir pantai di selatan China telah berhijrah ke luar negara kerana beban hidup yang terlalu berat. Abang Dr. Sun Yat-sen, Sun Mei juga telah berhijrah ke Amerika sebelum dewasa dan mencapai kejayaan hidup di sana. Beliau telah membawa Sun Yat-sen ke Amerika dari China untuk dijaga sendiri. Sejak berusia 13 tahun, Sun Yat-sen telah menerima pendidikan Barat yang sistematik di Amerika Syarikat dan Hong Kong. Selepas dewasa, Sun Yat-sen telah menerima latihan profesional dalam bidang perubatan selama bertahun-tahun. Beliau pernah bercita-cita untuk meringankan kesengsaraan dan penderitaan rakyat China dengan pengetahuan perubatannya. Akan tetapi, realiti masyarakat telah mengecaikan impiannya tersebut.

 

Pada tahun 1894, Dr. Sun Yat-sen dan segolongan cendekiawan pernah berkumpul di Beijing untuk menyerahkan surat kepada pemerintah Dinasti Qing yang mengharapkan kerajaan semasa agar menjalankan pembaharuan. Akan tetapi, tindakan mereka gagal mencapai hasil. Hal ini telah menyedarkan Dr. Sun Yat-sen bahawa sistem feudalisme merupakan halangan terbesar bagi pembaharuan. Oleh itu, tindakan pembaharuan yang besar-besaran adalah sangat perlu bagi menggulingkan pemerintahan kerajaan Dinasti Qing.

 

Dr. Sun Yat-sen

Dr. Sun Yat-sen dan isterinya

 

Pada tahun yang sama, sebagai salah sorang penganjur, Dr. Sun Yat-sen telah menceburkan diri dalam penubuhan "Hsing-chung Hui", satu persatuan yang disertai oleh perantau Cina di Amerika untuk membangkitkan China semula. Sejak itulah, revolusi borjuis China yang diterajui oleh Dr. Sun Yat-sen telah membuka tirainya.

 

Dalam tempoh tahun 1907 hingga tahun 1911, Dr. Sun Yat-sen telah menerajui berpuluh-puluh kali pemberontakan bersenjata di kawasan barat daya China. Oleh sebab kekuatan yang sangat lemah, pemberontakan mereka sering mengalami kegagalan. Beliau juga telah dikenakan waran tangkap daripada kerajaan Dinasti Qing dan terpaksa hidup dalam buangan di luar negara.

 

Sehingga tahun 1911, pemberontakan bersenjata yang diterajui oleh Dr. Sun Yat-sen akhirnya berjaya menggulingkan pemerintahan kerajaan Dinasti Qing dan sekali gus mengakhiri zaman masyarakat feudalisme di China selama lebih 2000 tahun.

 

Walaupun perjalanan hidup Dr. Sun Yat-sen berliku-liku dan penuh dengan cabaran, akan tetapi beliau tidak pernah berputus asa semasa menghadapi kegagalan. Di samping memimpin perjuangan bersenjata, beliau juga telah menulis banyak karya yang menjelaskan teorinya tentang pembangunan sesebuah negara demokratik dalam bidang hal ehwal dalam negeri, hal ehwal luar negara dan kehidupan rakyat. Selain itu, Dr. Sun Yat-sen juga telah melibatkan diri dalam mengasaskan lebih 10 jenis akhbar yang menyediakan konsep yang serba baru kepada rakyat China pada zaman itu.

 

Dr. Sun Yat-sen

 

Dr. Sun Yat-sen merupakan seorang yang sentiasa hidup berjimat, rajin dan ramah-tamah. Sebagai seorang revolusioner, Dr. Sun Yat-sen telah mencurahkan segala tenaganya untuk mewujudkan masyarakat demokratik yang adil di China. Pada tahun 1925, Dr. Sun Yat-sen telah meninggal dunia akibat penyakit yang tidak dapat disembuhkan.

 

Dr. Sun Yat-sen sangat dihormati oleh generasi kemudian. Parti Komunis China juga telah memberi penilaian yang tinggi terhadap sumbangannya. Di tempat-tempat yang pernah didiami oleh Dr. Sun Yat-sen, bahkan di Jepun dan Amerika Syarikat masih terdapat muzium peringatan Dr. Sun Yat-sen dan patung-patung Dr. Sun Yat-sen untuk dikunjungi oleh generasi kini.

系统管理员