Karya Du Fu, Penyajak Terunggul Zaman Dinasti Tang

2018-03-29 11:15:48  CRI
Share with:

Berakhirnya zaman keagungan Dinasti Tang menyebabkan sifat karya sajak selepas itu beralih daripada idealistik kepada memaparkan kenyataan hidup. Du Fu, penyajak yang terunggul pada zaman Dinasti Tang hidup pada zaman peralihan itu. Kebanyakan karyanya menceritakan tentang peristiwa besar, pergolakan masyarakat, kegelapan politik dan kesengsaraan hidup rakyat. Ia amat bernilai sebagai bahan kajian sejarah.

 

Du Fu, Penyajak Terunggul pada Dinasti Tang dan Karyanya

 

Du Fu (tahun 712 Masihi~770 Masihi) dilahirkan dalam keluarga penyajak yang memegang ajaran Konfusius. Pendidikan yang diterimanya menjadikan beliau amat taat dan setia kepada Raja dan mencintai rakyat. Ketika mudanya, Du Fu hidup dalam suasana aman dan damai. Ketika itu, beliau suka membaca dan melancong. Dalam salah satu perjalanannya di perantauan, Du Fu berkenalan dengan seorang lagi penyajak yang terkenal pada zaman itu, Li Bai.

 

Du Fu terus menjadi sahabat baik Li Bai dan mereka mempunyai hubungan yang sangat akrab. Apabila dewasa, Du Fu berhijrah ke ibu kota Chang'an untuk mencari peluang berkhidmat dalam jabatan kerajaan pusat. Beliau gagal mendapatkan sebarang kerja di Chang'an dan terpaksa hidup dalam keadaan miskin. Setelah 10 tahun, barulah beliau mendapat jawatan sebagai pegawai pangkat rendah dalam jabatan kerajaan. Malang nasibnya, sebaik sahaja cita-citanya tercapai, pergolakan masyarakat pula bermula. Sebagai pegawai kerajaan, beliau telah ditangkap oleh kumpulan pemberontak. Bagaimanapun, beliau berjaya melarikan diri dan jawatannya diberikan kembali. Tidak lama selepas itu, Du Fu meletakkan jawatannya dan menetap di Sichuan untuk beberapa lama. Ketika usianya sudah lanjut, beliau membawa keluarganya berpindah ke bahagian timur dan meninggal dunia di sana kerana sakit.

 

Du Fu sangat mahir dalam penulisan sajak klasik dan amat kreatif menggubah banyak karya yang indah. Dari segi gaya bahasa, karya Du Fu dapat menyampaikan rasa sedih dan bimbang terhadap keadaan masyarakat dan hidup rakyat. Baik yang menceritakan tentang kesengsaraan hidup rakyat mahupun keadaannya dirinya yang serba miskin, karyanya penuh dengan emosi. Oleh sebab dipengaruhi oleh fahaman Konfusius, iaitu nilai sama rata dan sikap sederhana, yang diterimanya sejak kecil, sajak yang digubah oleh Du Fu dilihat kurang proaktif.

 

Du Fu, Penyajak Terunggul pada Dinasti Tang dan Karyanya

 

Antara hasil karya Du Fu, sajak yang berjudul Deng Gao diiktiraf sebagai karya terbaiknya. Sajak itu ditulis ketika beliau berusia 56 tahun. Pada tahun itu, pergolakan politik dalam kerajaan pusat baru reda, tetapi beberapa pemberontakan pula berlaku. Oleh sebab kehilangan sokongan daripada orang atasan dalam kerajaan, Du Fu terpaksa meninggalkan Chang'an dan membawa keluarganya berpindah ke tempat lain. Hidupnya dalam serba kekurangan dan kesihatannya sering terganggu. Keadaan ini berlarutan sehingga beliau meninggal dunia.

 

Suatu hari, beliau berdiri sepi di puncak bukit di luar kota Chang'an, melayani perasaannya sendiri. Beliau teringat akan kisah-kisah silam mengenai nasibnya yang malang. Ketika itu, angin bukit menampar-nampar tubuhnya, lalu tersedar akan dirinya yang sedang mengelamun jauh. Pada waktu itulah ilham menjelma sehingga beliau berjaya melahirkan sajak Deng Gao.

 

Dalam bahasa Mandarin, "Deng" bermaksud mendaki, manakala "Gao" bermaksud tinggi. Sajak ini menggambarkan suasana sayu dan sepi. Pembaca boleh merasai perasaan pilu penggubahnya melalui gambaran tibanya musim luruh dan kepantasan berlalunya masa.

系统管理员