Chang Hen Ge, Sajak Ciptaan Bai Juyi

2018-03-29 11:10:50  CRI
Share with:

Puisi-puisi zaman Dinasti Tang China dikategorikan kepada empat tempoh iaitu koleksi awal Dinasti Tang (Tahun 618-Tahun 712), koleksi kemuncak Dinasti Tang (Tahun 713-Tahun 765), koleksi pertengahan Dinasti Tang (Tahun 766– Tahun 827) dan koleksi penghujung Dinasti Tang (Tahun 829-Tahun 907).

 

Bai Juyi yang hidup pada tahun 772 Masihi hingga tahun 846 Masihi merupakan seorang penyajak terkenal dan sasterawan tersohor pada zaman Dinasti Tang. Karyanya tersebar jauh hingga ke Jepun dan Korea.

 

Bai Juyi dan Sajak Ciptaannya "Chang Hen Ge"

 

Ketika mudanya, Bai Juyi terpaksa berpindah randah dan hidup bergelandangan kerana pergolakan masyarakat. Selepas berjaya dalam peperiksaan pengambilan kakitangan awam, beliau dilantik sebagai pegawai dalam kerajaan pusat. Pada waktu itu, Bai Juyi menunjukkan semangat yang tinggi untuk mengambil bahagian dalam urusan politik dan sosial. Tapi, semangat itu beransur-ansur menjadi luntur selepas beliau pulang ke kampung halaman kerana pemergian ibunya. Oleh sebab terpengaruh oleh agama Buddha dan ajaran Taoisme, pegangan hidup Bai Juyi berubah, lalu hanya menumpukan perhatian kepada penyempurnaan diri sendiri tanpa memikirkan orang lain. Kemudian, beliau bertukar jawatan dalam kerajaan beberapa kali. Pada usia yang lanjut, beliau dapat hidup dalam keselesaan.

 

Karya puisi Bai Juyi boleh dikategorikan kepada empat jenis, iaitu yang bersifat sindiran, santai-santai, yang meluahkan perasaan sayu, dan yang bersifat pelbagai. Karyanya memperlihatkan pegangan hidupnya, iaitu memberikan perhatian untuk menyempurnakan diri sendiri dalam perjuangan untuk mencapai cita-cita peribadi dan memanfaatkan kuasa sendiri untuk kesejahteraan seluruh rakyat jika cita-cita tercapai.

 

Bai Juyi dan Sajak Ciptaannya "Chang Hen Ge"

 

Antara ciptaannya, puisi sindiran banyak menceritakan tentang masalah-masalah utama dalam masyarakat zaman pertengahan Dinasti Tang, terutamanya yang berkait dengan kegelapan politik dan kesengsaraan rakyat.

 

Puisinya yang bersifat santai-santai pula menceritakan tentang perasaan yang selesa ketika hidup di kampung yang sunyi dan damai. Ketika membaca puisi jenis ini, pembaca juga boleh merasai kekecewaannya terhadap realiti masyarakat semasa dan kekesalannya kerana tidak boleh berbuat apa-apa.

 

Karya Bai Juyi, sama ada puisi yang panjang atau yang pendek, telah memberikan pengaruh yang besar kepada sasterawan dan penyajak kemudian.

 

Antara karya Bai Juyi, puisi yang memaparkan perasaan sayu dan sedih amat unik, dan Chang Hen Ge diiktiraf sebagai karyanya yang terunggul.

 

Ilham untuk menulis Chang Hen Ge menjelma ketika Bai Juyi sedang bersembang-sembang dengan rakannya dalam kunjungannya ke sebuah kuil Buddha. Chang Hen Ge merupakan sebuah puisi yang menceritakan tragedi yang berlaku antara Raja Tang Ming Huang dengan seorang gundiknya, Yang Gui Fei.

系统管理员