Karya Wang Wei, Penyajak Dinasti Tang

2018-03-29 11:18:07  CRI
Share with:

Pengkaryaan puisi pada zaman Dinasti Tang mencapai kemuncaknya pada sekitar pertengahan pertama Abad ke-8, iaitu zaman keagungan Dinasti Tang. Kumpulan puisi ketika itu mempunyai dua aliran utama, iaitu aliran puisi yang bergaya santai dan menggambarkan keindahan alam semula jadi, serta aliran puisi yang menceritakan tentang keadaan kawasan sempadan dan kehidupan askar yang mengawal sempadan.

 

Kepopularan kumpulan puisi yang bergaya santai dan menggambarkan keindahan alam semula jadi pada zaman keagungan Dinasti Tang mempunyai asas sosial. Pada ketika itu, keadaan masyarakat stabil dan ekonomi makmur. Semua ini telah menyediakan suasana santai kepada para penyajak. Tambahan pula, pihak pemerintah juga menggalakkan rakyat mengamalkan ajaran agama Buddha dan pemikiran Taoisme yang mengutarakan gaya hidup yang santai dan semula jadi.

 

Penyajak Dinasti Tang, Wang Wei

 

Wang Wei yang hidup pada tahun 701 hingga 761 Masihi, merupakan salah seorang penyajak yang terunggul pada zaman Dinasti Tang. Ayahnya meninggal dunia ketika dia masih kecil. Ibunya pula merupakan seorang penganut Buddha yang taat kepada agamanya. Wang Wei menunjukkan bakat yang luar biasa dalam bidang kesusasteraan ketika beliau masih muda lagi. Beliau bukan sahaja pandai menulis sajak, tetapi juga mahir melukis dan bermain alat muzik. Ketika berumur 20 tahun, beliau telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan pengambilan pegawai kerajaan pusat. Malangnya, pada umur sekitar 40-an beliau mengalami kegagalan dalam kerjayanya sehingga beliau mengubah pegangan hidup, menjadikannya seorang yang mementingkan diri tanpa memikirkan hal lain. Semangatnya untuk memperjuangkan kepentingan rakyat menjadi semakin kurang. Beliau akhirnya meletakkan jawatan dalam kerajaan dan menetap di kawasan pergunungan Zhongnanshan untuk beberapa lama. Ketika usianya sudah lanjut, beliau berpindah pula ke Shaanxi dan mencari rezeki dengan membuat kerja sambilan di jabatan kerajaan tempatan.

 

Penyajak Dinasti Tang, Wang Wei

 

Puisi ciptaan Wang Wei yang boleh dijumpai sekarang tidak sampai 400 buah sahaja. Antara karyanya yang benar-benar dapat mewakili gaya penulisannya ialah puisi yang menggambarkan keindahan pemandangan alam semula jadi. Tetapi, gaya karyanya yang dihasilkannya pada peringkat yang lebih awal dan lebih kemudian tidak sama. Ciptaan beliau yang awal memperlihatkan semangatnya yang tinggi, yang rela berjuang demi politik yang bersih, dan ketidakpuasannya terhadap sesetengah gejala sosial yang meruncing. Ketika membaca puisi beliau yang awal, kita dapat merasai semangat kepahlawanan dan patriotiknya. Kebanyakan karya beliau yang akhir pula menceritakan tentang kehidupan yang santai yang dinakmati beliau ketika menetap di kawasan pergunungan tanpa membuat sebarang kerja. Ini adalah pengaruh ajaran agama Buddha yang diamalnya sejak muda.

 

Penyajak Dinasti Tang, Wang Wei

 

Jika diteliti, salah satu sebab puisi karya Wang Wei begitu diminati orang ramai ialah, selain dikenali sebagai seorang penyajak, beliau juga dikenali sebagai seorang pelukis yang mahir. Kepandaiannya dalam kedua-dua bidang ini membuatkan puisinya seperti sebuah lukisan yang terbentang di depan mata pembaca. Inilah sebenarnya keunikan puisi karyanya. Maka, itulah sebabnya, dalam sejarah sastera puisi China, koleksi karya Wang Wei mempunyai kedudukan yang amat penting.

系统管理员