Riwayat Yao dan Shun Naik Takhta

2018-03-29 15:01:31  CRI
Share with:

Riwayat Yao dan Shun Naik Takhta

 

Dalam sejarah feudal China, takhta raja biasanya diwarisi oleh anak raja. Namun, pewarisan takhta antara ketiga-tiga orang raja yang paling awal dalam legenda China, iaitu Yao, Shun dan Yu, tidak diamalkan berasaskan keturunan. Siapa yang paling bijak dan mempunyai akhlak dan sahsiah yang mulia, dialah yang dipilih sebagai raja.

 

Menurut ceritanya, Yao ialah raja pertama yang muncul dalam legenda China. Ketika usia baginda sudah lanjut, baginda ingin mencari seorang calon untuk mewarisi takhtanya. Maka, baginda pun memanggil ketua-ketua puak dari merata-rata tempat untuk membincangkan hal tersebut.

 

Selepas mengetahui cadangan yang dikemukakan oleh Raja Yao, seorang ketua yang bernama Fang Qi berkata: "Putera tuanku, Dan Zhu ialah seorang pemuda yang terbuka mindanya. Jadi, takhta tuanku wajar diwarisinya." Bagaimanapun, Raja Yao berkata dengan serius: "Anak beta itu tidak sesuai menjadi raja. Dia tidak mempunyai sahsiah yang baik, dan sering bertelingkah dengan orang lain". Seorang yang lain pula berkata: "Gong Gong yang menguruskan projek pengairan itu sangat baik". Raja Yao pula menggeleng-gelengkan kepala sambil berkata: "Gong Gong yang pandai bercakap itu ialah seorang yang bermuka-muka. Dia kelihatan jujur, tetapi mempunyai niat lain di sebalik tindakannya. Beta tidak percaya kepadanya." Perbincangan kali itu gagal mencapai hasil, dan Raja Yao terus mencari calon yang lain untuk mewarisi takhtanya.

 

Beberapa bulan kemudian, Raja Yao sekali lagi mengumpulkan ketua-ketua puak tersebut. Dalam perbincangan kali ini, ada beberapa orang mencadangkan seorang pemuda yang bernama Shun. Raja Yao berkata: "Beta pun pernah mendengar bahawa pemuda itu sangat baik. Bolehkah tuan menceritakan sedikit sebanyak tentang orang itu?" Salah seorang daripada mereka pun berkata: "Bapa Shun, Gu Sou, seorang yang celaru fikirannya. Selepas ibu Shun meninggal dunia, dia telah mengahwini seorang wanita yang sangat jahat. Anak yang dilahirkan oleh ibu tiri Shun itu bernama Xiang. Dia sangat sombong, tetapi sangat dimanjakan oleh bapanya. Walaupun begitu, Shun tetap sangat sayang kepada bapa, ibu tiri dan adiknya. Sebab itulah, kami menganggap dia seorang yang mempunyai peribadi yang mulia."

 

Dengan pencalonan itu, Raja Yao ingin menguji Shun lebih dahulu. Baginda bukan sahaja mengahwinkan dua orang puterinya, iaitu E Huang dan Nu Ying, dengan Shun, malah membina gudang bahan makanan dan memberikan banyak lembu dan kambing kepadanya. Ibu tiri dan adik lelaki Shun yang iri hati, kerap kali bersubahat dengan bapanya Gu Sou, untuk membunuh Shun.

 

Pada suatu hari, Gu Sou menyuruh Shun membaiki bumbung gudang bahan makanan mereka. Ketika Shun berada di atas bumbung itu, Gu Sou yang berada di bawah mencuba membakar gudang supaya Shun mati terbakar. Bagaimanapun, Shun berjaya menyelamatkan dirinya daripada kemalangan itu. Selepas mendapati dia sudah kehilangan tangga untuk turun ke bawah, dia pun menggunakan dua topi pandan yang besar yang dibawanya ketika dia naik ke atas bumbung itu. Kedua-dua topi itu bagaikan dua sayap burung, membawanya turun mendarat di bumi dengan selamat.

 

Gu Sou dan Xiang tidak menghentikan niat jahat mereka begitu sahaja. Pada suatu hari yang lain pula, mereka menyuruh Shun menggali perigi. Shun segera melakukannya. Setelah beberapa lama, Shun terpaksa menggali perigi itu dari dalamnya. Ketika dia terjun ke dalam perigi itu, Gu Sou dan Xiang segera melontarkan ketulan batu ke dalam perigi itu sehingga perigi itu penuh. Pada anggapan mereka, Shun yang berada di bawah perigi itu akan mati lemas.

 

Namun, tidak disangka mereka, Shun telah menggali satu laluan di bawah perigi itu. Dia keluar dari laluan itu, lalu kembali ke rumahnya dengan selamat lagi.

 

Xiang tidak tahu Shun sudah selamat terlepas daripada kemalangan itu. Dia dengan gembira balik ke rumahnya, dan berkata kepada Gu Sou: "Abangku pasti sudah mati. Kita boleh mewarisi semua hartanya." Lalu, dia terus pergi ke bilik Shun. Ketika tiba di bilik itu, dia terkejut melihat abangnya sedang duduk di tepi katil sambil bermain alat muzik. Dia berpura-pura berkata: "Abang, aku amat merinduimu".

 

Shun juga berpura-pura tidak tahu apa yang sudah terjadi. Dia berkata kepada adiknya: "Kebetulan abang pun nak jumpa awak. Abang ada banyak kerja yang perlu kepada bantuan awak." Selepas itu, Shun tetap sangat mesra dengan ibu tiri, bapa dan adiknya. Gu Sou dan Xiang pun tidak berani lagi untuk membunuh Shun.

 

Melalui beberapa ujian itu, Raja Yao menganggap Shun benar-benar seorang yang bijak dan mempunyai akhlak dan sahsiah yang mulia. Jadi, baginda mewariskan takhtanya kepada Shun.

 

Selepas naik takhta, Shun bekerja dengan rajin, dan hidup sederhana serta berhemat seperti orang biasa. Itulah sebabnya, nama dan maruah baginda dipandang amat tinggi dalam kalangan rakyat jelata.

 

Ketika usia Shun sudah lanjut, baginda memilih Yu, seorang yang berbakat tinggi dan mempunyai peribadi yang mulia juga, sebagai pewarisnya.

Dipercayai tiada perebutan kepentingan dan kuasa yang berlaku pada zaman Raja Yao, Shun dan Yu. Raja dan rakyat jelata sama-sama menikmati kehidupan yang aman dan sentosa.

00:00:00/00:00:00
Waktu Solat
beijing
  • Fajr
    04:13
  • Fajr
    04:13
  • Fajr
    04:13
  • Fajr
    04:13
  • Fajr
    04:13
  • Fajr
    04:13
Kadar Tukaran