Legenda Huang Di Melawan Chi You 

2018-03-29 15:03:06  CRI
Share with:

Legenda Huang Di Melawan Chi You 

 

Kononnya, pada beberapa ribu tahun yang lalu, terdapat beberapa suku kaum tinggal di kawasan aliran Sungai Kuning dan Sungai Yangtze, China. Huang Di ialah ketua kepada satu suku kaum yang terbesar di kawasan Sungai Kuning. Manakala Yan Di pula ialah ketua kepada satu lagi suku kaum yang terkenal di kawasan ini. Kedua-dua mereka ialah sanak saudara. Di kawasan aliran Sungai Yangtze pula, terdapat satu suku kaum yang digelar Jiuli, yang diketuai oleh seorang ketua yang sangat garang. Namanya Chi You.

 

Chi You mempunyai 81 orang adik. Kesemua mereka berbadan haiwan dan bermuka manusia. Mereka sangat garang dan pandai membuat pelbagai jenis senjata. Chi You sering mengetaui mereka menyerang suku kaum yang lain.

 

Pada suatu hari, Chi You telah mencerobohi wilayah yang dikuasai oleh Yan Di. Yan Di yang dikalahkan dalam serangan balas itu terpaksa melarikan diri ke Zhuolu, iaitu wilayah yang dikuasai oleh Huang Di, untuk meminta bantuan kepadanya. Huang Di yang sudah lama ingin menghapuskan suku kaum Chi You, terus berpakat dan bersekutu dengan suku kaum yang lain, lalu melancarkan serangan besar-besaran terhadap Chi You di Zhuolu. Inilah "pertempuran Zhuolu", satu pertempuran yang sangat terkenal dalam sejarah China.

 

Pada peringkat awal pertempuran itu, dengan senjata yang hebat dan askar yang gagah, tentera Chi You banyak kali mengalahkan tentera sekutu yang diketuai oleh Huang Di. Kemudian, Huang Di telah menjemput naga dan binatang-binatang ajaib yang lain untuk membantunya dalam pertempuran itu. Tentera Chi You berjaya dikalahkan kerana mereka tidak dapat melawan binatang ajaib yang begitu hebat itu, Mereka terpaksa melarikan diri.

 

Huang Di terus mengetuai tenteranya mengejar tentera Chi You. Tiba-tiba, langit menjadi gelap dan alam diliputi kabus, angin bertiup kencang, guruh berdentum dan kilat sabung-menyabung di langit. Hujan lebat pun mula turun. Dengan bantuan Dewa Angin dan Dewa Hujan yang dijemput oleh Chi You itu, tentera Huang Di tidak dapat mengejarkan tentera Chi You lagi. Huang Di yang tidak mahu mengaku kalah itu, pula menjemput Dewa Kemarau untuk meredakan angin dan hujan. Dengan itu, langit segera menjadi cerah semula.

 

Kemudian, Chi You telah mencipta kabus yang tebal dengan menggunakan sihir, dan ini menyebabkan askar Huang Di tersesat jalan. Sebagai balasan, Huang Di pula membuat sebuah "kereta kompas" menurut hukum alam, iaitu "bintang Pencedok Besar menuju arah utara". Kereta itu telah membimbing tenteranya keluar dari kawasan yang diselubungi kabus itu.

 

Melalui beberapa pertempuran yang sengit, Huang Di telah berjaya membunuh kesemua 81 orang adik Chi You, dan menangkap Chi You hidup-hidup, lalu menjatuhkan hukuman mati terhadapnya.

 

Dengan bakat yang serba boleh, seperti membina istana, membuat kapal dan baju, serta kebolehan yang unggul dalam bidang ketenteraan, Huang Di telah mendapat sokongan yang meluas daripada pelbagai suku kaum, lalu dia dilantik sebagai ketua kepada semua suku kaum di sekitar Sungai Kuning dan Sungai Yangtze.

 

Huang Di sering menjadi watak utama dalam legenda China. Dia dianggap sebagai nenek moyang orang China. Disebabkan Yan Di dan Huang Di merupakan sanak saudara, dan anak buah daripada suku kaum nereka pula berkahwin antara satu sama lain, lalu beranak pinak, maka, setiap orang China menganggap diri mereka keturunan Huang Di dan Yan Di. Untuk memperingati nenek moyang bersama bagi semua orang berketurunan China ini, sebuah "Makam Huang Di" telah dibina di provinsi Shaanxi, di tebing Sungai Kuning. Pada setiap musim bunga, orang Cina dari merata-rata tempat di seluruh dunia akan berkumpul di sana untuk memuja roh nenek moyang bagi bangsa China ini.

系统管理员