Catatan Menara Yueyang

2018-03-29 11:39:58  CRI
Share with:

Fan Zhongyan (989-1052), sejak kecil lagi sudah merasai hidup susah dan dibesarkan oleh ibu tiritnya. Menyedari kepahitan hidupnya, beliau bertungkus lumus belajar di sekolah. Disebabkan keluarganya tidak mampu menanggung yuran persekolahan, Fan Zhongyan sering meneruskan pembelajarannya di kuil yang terletak di atas gunung berhampiran rumahnya.

 

Sasterawan Fan Zhongyan dan "Catatan Menara Yueyang" yang Ditulisnya

 

Penderitaan keluarganya disebabkan cengkaman kemiskinan memaksa Zhongyan makan ala kadar setiap hari, iaitu memasak seperiuk bubur pekat, kemudiannya memotongnya jadi empat keping selepas bubur itu menjadi sejuk. Beliau terlebih dahulu mengambil dua keping untuk makan tengah hari dan dua keping lagi untuk makan malam dengan dicampur sedikit sayur asin dan cuka.

 

Fan Zhongyan tidak menghiraukan kehidupan yang serba kekurangan itu dan menumpukan segala perhatiannya terhadap menimba ilmu pengetahuan.

 

Setelah bersungguh-sungguh memberi tumpuan sepenuhnya dalam persekolahannya, Fan Zhongyan berjaya lulus dalam ujian peringkat provinsi sewaktu berumur 26 tahun. Beliau dilantik untuk menyandang jawatan kerajaan. Bagaimanapun, sepanjang bertugas, beliau tiga kali diturunkan pangkat kerana menyuarakan perkara benar yang tidak disenangi oleh Perdana Menteri ketika itu.

 

Dalam bidang politik, Fan Zhongyan yang telah dinaikkan pangkat kepada Timbalan Perdana Menteri amat membenci rasuah yang berleluasa ketika itu. Beliau mencadangkan bahawa sistem pelantikan pegawai yang bersih perlu diwujudkan dan pertanian perlu diutamakan dalam pembangunan sosioekonomi. Beliau juga mendorong pelaksanaan sistem undang-undang dan mengurangkan cukai yang bermacam-macam. Banyak usahanya itu gagal dicapai kerana ditentang oleh golongan konservatif. Kemudiannya, Fan Zhongyan diturunkan pangkat oleh raja tanpa sokongan daripada rakan sekerjanya. Beliau meninggal dunia selepas mengidap sejenis penyakit ketika dalam perjalanan ke satu pekan bagi menyandang jawatan yang lebih rendah.

 

Fan Zhongyan mencapai kejayaan yang cemerlang dalam bidang puisi dan prosa. Karangan-karangan yang dihasilkannya penuh dengan pemikiran politik yang mendalam, kata-katanya yang berpuitis sedap dilafazkan dan merakamkan pendapat penulis yang berpandangan jauh terhadap perkara-perkara yang diceritakan.

 

"Catatan MenaraYueyang" dilihat mewakili antara karya-karya besar Fan Zhongyan. Karangan itu juga mencerminkan cita-cita penulis yang mencintai tanah air sepanjang hidupnya.

 

Menara Yueyang dibaik pulih apabila Fan Zhongyan diturunkan pangkat dan bertugas sebagai pegawai tempatan yang biasa. Seorang rakannya mengajak Fan Zhongyan menulis satu catatan mengenai perkara itu, iaitu proses membaik pulih Menara Yueyang.

 

Kata-kata yang halus dan pemikiran yang mendalam terkandung dalam "Catatan Menara Yueyang" yang menyebut bahawa pemandangan yang indah di Yueyang tidak terlepas daripada Tasik Dongting yang luas. Pemandangan Tasik Dongting itu sering berubah-ubah ketika siang dan malam silih berganti dengan diselubungi pemandangan indah kawasan pergunungan serta Sungai Yangtzer yang berhampiran.

 

Sasterawan Fan Zhongyan dan "Catatan Menara Yueyang" yang Ditulisnya

 

Setiap insan akan terasa rezah dan hiba apabila berdiri di MenaraYueyang melihat pemandangan berbalam-balam dalam cuaca yang suram dan mendung, tetapi akan terasa ceria dan selesa apabila mendaki balai itu dalam cuaca yang cerah.

 

Golongan cerdik pandai semenangnya berbeza dengan orang biasa kerana mereka tidak sombong dan lupa diri apabila dinaikkan pangkat atau mendapat ganjaran yang lumayan, dan juga tidak kesal apabila jatuh miskin atau ditimpa bala. Akhirnya, Fan Zhongyan menyuarakan cita-cita yang mulia, iaitu mendahulukan usaha bagi memikir dan mengatasi kesukaran rakyat sebelum memikirkan masalah peribadi, manakala mendahulukan rakyat bagi menikmati kehidupan yang bahagia sebelum tiba giliran diri sendiri.

系统管理员