Bunuh Tiga Kesateria dengan Dua Biji Buah Pic

2018-04-23 14:10:50  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_ertaoshasanshi

 

Kononnya, pada abad ke-7 sebelum Masihi, terdapat tiga orang kesateria di negeri Qi, China. Mereka ialah Tian Kaiqiang, Gu Yezi dan Gongsun Jie. Ketiga-tiga orang kesateria yang gagah berani itu amat disukai oleh raja negeri Qi. Oleh sebab terlalu disayangi raja, lama-kelamaan, mereka menjadi semakin sombong dan bermaharajarela. Pada ketika itu juga, terdapat seorang pengkhianat bernama Chen Wuyu, yang berniat untuk menghasut ketiga-tiga orang kesateria tersebut supaya bersama-sama menggulingkan raja Qi.

 

Keadaan tersebut telah menimbulkan kebimbangan Perdana Menteri negeri Qi, iaitu Yan Ying. Demi memelihara keharmonian dan keselamatan negeri, beliau berusaha untuk mencari jalan menghapuskan ketiga-tiga orang itu. Pada suatu hari, Raja Qi mengadakan jamuan besar-besaran di istana untuk meraikan raja dari negeri jirannya, iaitu negeri Lu. Dalam jamuan itu, Yan Ying memohon kepada raja Qi supaya mengizinkannya mengutip beberapa biji pic dari perkarangan istana untuk menjamu para tetamu. Setelah mendapat izin daripada baginda, Yan Qing pun pergi mengutip enam biji buah pic yang besar. Antara keenam-enam biji pic itu, dua biji telah dimakan oleh kedua-dua raja, dua biji lagi dimakan oleh Perdana Menteri kedua-dua negeri, dan hanya tinggal 2 biji sahaja. Yan Ying mencadangkan kepada raja Qi supaya mengizinkan para pegawai melaporkan jasa masing-masing. Siapa yang membuat jasa yang paling besar terhadap negeri, dialah yang layak memakan buah pic itu.

 

Raja Qi amat bersetuju dengan cadangan Yan Ying tersebut. Maka, baginda pun menitahkan para pegawai menceritakan jasa masing-masing. Salah seorang daripada ketiga-tiga kesateria tersebut, iaitu Gongsun Jie menampilkan diri, sambil berkata, "Saya pernah menemani raja pergi berburu, dan menyelamatkan raja daripada serangan harimau. Adakah jasa saya ini cukup besar?" Yan Ying pun menjawab, "Jasa kamu memang sangat besar. Kamu patut mendapat anugerah yang setimpal." Maka, raja Qi menganugerahinya sebiji buah pic.

 

Ketika melihat keadaan itu, Gu Yezi pun berdiri, sambil berkata, "Saya pernah menyelamatkan raja daripada serangan seekor kura-kura yang besar di Sungai Kuning. Jasa saya ini lebih besar berbanding dengan jasa Gongsun Jie itu." Raja Qi amat menghargai jasa Guyezi itu. Maka, baginda menganugerahkan buah pic yang terakhir itu kepadanya.

 

Pada ketika itu, Tian Kaiqiang tidak sabar-sabar lagi untuk menceritakan sumbangannya terhadap kemakmuran negeri apabila dia mengetuai tentera menyerang negeri-negeri musuh, dan menangkap lebih 500 orang daripada mereka sebagai tahanan. Raja Qi menyenangkan hatinya, sambil berkata, "Jasa tuan memang sangat besar. Tetapi buah pic itu sudah habis dianugerahkan. Beta akan menganugrahi tuan lain kali."

 

Ketika mendengar kenyataan raja Qi itu, Tian Kaiqiang berasa dirinya telah dihina di depan orang ramai. Dia berasa sangat malu, dan segera membunuh diri dengan pedangnya. Ketika melihat keadaan itu, Gongsun Jie pun mencabut pedangnya, sambil berkata: "Jasa saya agak kecil, tetapi mendapat anugerah. Jeneral Tian paling berjasa, tetapi tidak dianugrahi. Ini memang tidak adil." Lalu, dia pun membunuh diri. Ketika melihat dua orang sahabatnya itu telah mati membunuh diri, Qu Yezi pula berkata, "Kami bertiga pernah berjanji akan sehidup dan semati. Kini, mereka berdua sudah mati, saya pun tidak mahu hidup sendirian lagi." Lalu, dia pun membunuh diri juga.

 

Dengan kebijaksanaannya, Yan Ying berjaya menghapuskan ketiga-tiga orang kesateria yang menjadi ancaman kepada negeri Qi itu dengan menggunakan dua biji buah pic sahaja. Sejak itu, negeri Qi menjadi harmoni dan tenteram semula.

00:00:00/00:00:00
Waktu Solat
beijing
  • Fajr
    04:13
  • Fajr
    04:13
  • Fajr
    04:13
  • Fajr
    04:13
  • Fajr
    04:13
  • Fajr
    04:13
Kadar Tukaran
系统管理员