Warisan Sastera Klasik China: Shui Jing Zhu

2018-02-07 18:42:20  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_c2fdfc039245d688764ea25ba3c27d1ed31b2484

"Shui Jing Zhu" merupakan sebuah buku geografi yang paling awal dan paling lengkap yang mencatat maklumat tentang sungai-sungai di China. Ia juga dikenali sebagai sebuah karya sastera klasik yang menceritakan tentang sumber alam semula jadi dan kehidupan manusia pada lebih 1500 tahun dahulu.

 

Li Daoyuan, penyusun buku ini, amat gemar menjelajah. Apabila dewasa, beliau telah mewarisi kedudukan ayahnya menjadi bangsawan dan diberi jawatan dalam jabatan kerajaan. Dengan menggunakan peluang bertugas di jabatan kerajaan pusat, Li Daoyuan menjelajah ke seluruh kawasan aliran Sungai Kuning dan Sungai Huai di utara China. Antara tempat yang pernah dilawatinya termasuklah Provinsi Hebei, Henan, Shanxi, Shaanxi, Mongolia Dalam, Shandong, Jiangsu dan Anhui yang disebut sekarang. Setiap kali melawat ke satu-satu tempat, beliau akan membuat tinjauan yang rapi terhadap sumber air. Beliau juga akan melancong ke destinasi yang menarik dan tapak peninggalan sejarah untuk mengumpulkan maklumat dan sumber bahan yang akan digunakannya untuk menyusun buku Shui Jing Zhu nanti.

 

Air merupakan unsur yang paling aktif dalam alam semula jadi. Sungai pula amat penting bagi perkembangan sesebuah negara atau sesebuah bangsa. Orang China sudah tahu betapa pentingnya sumber air sejak zaman purba lagi dan mempunyai tradisi untuk mencatat keadaan sumber air negara ini.

 

Melalui penyelidikan berdasarkan catatan sejarah, Li Daoyuan telah berjaya menyusun "Shui Jing Zhu" yang lebih lengkap maklumatnya. Panjang karya ini ialah 300 ribu patah perkataan dan terdiri daripada 40 bab. Terdapat 1389 batang sungai yang tercatat dalam buku ini.

 

"Shui Jing Zhu" meliputi semua aspek yang berkait dengan alam sekitar manusia dan alam sekitar. Pembaca boleh mendapat maklumat terperinci tentang setiap batang sungai yang tercatat dalam buku ini seperti dari mana puncanya dan kualanya, keadaan arus utamanya serta cawangannya, lebarnya lembah sungai, dalamnya dasar sungai, penampungan air, perubahan paras air berikutan peralihan musim, tempoh air sungai membeku serta lokasi air terjun dan tasik yang dilaluinya.

 

Dalam buku ini juga dicatat pelbagai bentuk muka bumi; hampir 2000 gunung dan bukit yang ada namanya, serta lebih 70 buah gua yang merupakan bentuk bumi karst.

 

Terdapat juga lebih 140 spesies flora dan lebih 100 spesies fauna yang hidup di kawasan sepanjang pesisir sungai-sungai yang tercatat dalam buku ini. Selain itu, buku ini juga mencatatkan pelbagai bencana alam yang pernah berlaku di China seperti banjir, kemarau, ribut taufan, serangan serangga perosak dan gempa bumi.

 

Ketika membaca buku ini, anda juga akan merasai keprihatinan penyusunnya terhadap masyarakat semasa melalui gambarannya.

 

Sebenarnya, "Shui Jing Zhu" merupakan rumusan dan kesimpulan kepada catatan-catatan geografi China sebelum abad ke-6. Banyak bahan rujukan yang berharga yang digunakan dalam buku ini telah lenyap. Buku ini juga amat berharga bagi pengajian sejarah, arkeologi, toponymy, sumber air bahkan bagi bidang etologi, keagamaan dan kesenian.

王瑾