Dalam sejarah China, kesemua maharajanya ialah lelaki. Akan tetapi, satu kekecualian muncul pada tahun 690 Masihi, Wu Zetian naik takhta dan menubuhkan Dinasti Zhou pada tahun itu, beliau merupakan satu-satunya maharani dalam sejarah China.
Wu Zetian dilahirkan pada tahun 624 Masihi. Semasa berusia 14 tahun, beliau dipilih sebagai dayang dalam istana Maharaja Taizong Dinasti Tang generasi ke-2 Li Shimin lalu menjadi gundik Baginda.
Berdasarkan tatasusila pada zaman feudal di China, wanita yang berbudi bahasa dan ramah tamah dianggap sebagai wanita yang baik walaupun tidak mempunyai kepandaian. Akan tetapi Wu Zetian tidak mahu mematuhi tatasusila yang diperakui umum dan mempunyai watak yang tersendiri. Wu Zetian sentiasa memperlihatkan watak yang tabah dan tegas serta bernafsu terhadap kuasa. Disebabkan itulah maka Maharaja Taizong telah mengetepikan Wu Zetian selama 12 tahun. Namun, Putera Mahkota Li Zhi telah menyukai Wu Zetian yang lebih tua 4 tahun daripadanya secara diam-diam.
Selepas Maharaja Taizong Li Shimin mangkat, Wu Zetian menjadi sami perempuan berdasarkan ketetapan diraja dan Putera Mahkota Li Zhi naik takhta menjadi Maharaja Gaozong Dinasti Tang. Tidak lama kemudian, Baginda menjemput kembali Wu Zetian ke istana dan menjadikan Wu Zetian sebagai gundiknya tanpa menghiraukan tentangan para pembesar.
Wu Zetian tidak berpuas hati terhadap kedudukannya dan bercita-cita besar ingin menjadi Permaisuri. Beliau memainkan taktik yang sangat kotor sehingga Maharaja Gaozong telah melucutkan gelaran Permaisuri Puan Wang dan menganugerahkan gelaran Permaisuri kepada Wu Zetian. Setelah dianugerahkan gelaran Permaisuri, Wu Zetian segera melakukan tindakan yang kejam dengan membunuh atau mengetepikan gundik-gundik yang disukai oleh Maharaja Gaozong.
Maharaja Gaozong sentiasa bersikap ragu-ragu dan tidak begitu tegas dalam menguruskan pentadbiran negara. Sebelum menjadi Permaisuri, Wu Zetian sentiasa membantu Baginda menguruskan pentadbiran negara secara diam-diam. Setelah menjadi Permaisuri, Wu Zetian membatalkan sistem tradisional tentang wanita tidak boleh mentadbir negara dan memaksa Maharaja Gaozong membenarkan beliau menguruskan hal ehwal penting negara. Maharaja dan Permaisuri menguruskan bersama-sama pentadbiran negara, perkara ini adalah jarang terdapat dalam sejarah China.
Selepas Maharaja Gaozong mangkat, kedua-dua Putera Mahkotanya berturut-turut menaiki takhta, akan tetapi yang benar-benar menguasai pemerintahan ialah ibunya Permaisuri Wu Zetian.
Semasa Wu Zetian berusia 67 tahun, beliau telah melucutkan jawatan Maharaja boneka dan mengambil alih takhta. Ini menjadikan beliau satu-satunya Maharani dalam sejarah China. Maharani Wi Zetian telah mengubah Dinasti Tang sebagai Dinasti Zhou.
Setelah menjadi Maharani, Wu Zetian melantik pegawai yang kejam dan jahat, membunuh orang yang tidak bersalah dengan sewenang-wenangnya, menindas orang yang tidak menyokong dasarnya dan menjalankan pemerintahan secara kuku besi. Namun demikian, Baginda telah memperlihatkan kepandaiannya dalam mentadbirkan negara. Baginda telah menggalakkan perkembangan pertanian, mengurangkan pungutan cukai dan mengambil bahagian dalam kegiatan pemeliharaan ulat sutera dan penanaman padi-padian. Wu Zetian telah mementingkan orang yang berbakat tanpa mengira keturunannya. Dengan berbuat demikian, banyak orang yang berbakat walaupun berasal daripada keluarga yang berkedudukan rendah telah dilantik sebagai pegawai kerajaan menduduki peperiksaan. Berikutan dengan itu, sejumlah daripada mereka telah menjadi pegawai dan sarjana yang terkenal. Wu Zetian juga berusaha meningkatkan kedudukan kaum wanita. Ini merupakan tindakannya yang bersifat progresif dalam masyarakat feudal pada zaman itu.
Wu Zetian menjadi Maharani selama 15 tahun dan melaksanakan pentadbiran negara selama 50 tahun. Dalam tempoh pemerintahan Wu Zetian, China telah menjadi negara yang kuat dengan masyarakatnya yang stabil dan ekonominya yang berkembang.