Pendeta Hui Yuan, Pengasas Kumpulan Agama Buddha Jingtu China

2018-03-02 14:33:57  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_huiyuandashi

Agama Buddha merupakan agama yang mempunyai jumlah penganut paling ramai daripada beberapa agama lain di China. Agama Buddha diperkenalkan ke China dari India pada dua ribu tahun yang lalu. Agama Buddha sebagai agama yang diperkenalkan dari negara asing dapat digabungkan secara beransur-ansur dengan kebudayaan China terutamanya disebabkan oleh kebanyakan tokoh tersohor dalam sejarah China telah memainkan peranan penting dalam penyebaran dan perkembangan agama Buddha di China. Pendeta Hui Yuan merupakan salah seorang antara tokoh tersebut.

 

Pendeta Hui Yuan dilahirkan pada tahun 334 Masihi di Loufan Provinsi Shanxi bahagian utara China. Semasa kanak-kanak, Hui Yuan telah menumpukan perhatian terhadap buku klasik dalam pelbagai bidang pada zaman purba China. Beliau lebih menggemari akan Laozi dan Zhuangzi, kitab yang membentangkan falsafah agama Tao, sejenis agama tradisional China. Semasa remaja, Hui Yuan sentiasa dipuji oleh sarjana dan tokoh ternama sebab beliau mempunyai pengetahuan yang luas.

 

Semasa berumur 21 tahun, Hui Yuan bercadang melanjutkan pelajaran ke bahagian selatan China, akan tetapi perjalanan beliau terkandas disebabkan rusuhan dan peperangan yang berlaku pada masa itu. Semasa itu, Dao An, seorang sami termasyhur sedang menyampaikan syarahan tentang kitab-kitab agama Buddha di Shanxi. Hui Yuan turut pergi mengikuti syarahan itu. Beliau tertarik hati oleh syarahan Dao An dan berguru dengan Dao An serta membotakkan kepala lalu menjadi sami.

 

Setelah menjadi sami, Hui Yuan dengan giat meneliti kitab-kitab agama Buddha. Hanya tiga tahun selepas itu, beliau mula memberi syarahan tentang kitab-kitab agama Buddha. Demi membolehkan para pengikut syarahannya memahami kandungan kitab-kitab agama Buddha yang mendalam dan sukar difahami, beliau menggabungkan syarahannya dengan pengetahuan dan istilah falsafah Konfusius dan agama Tao. Cara penyampaian syarahan beliau tersebut banyak digunakan oleh para sami dan pendeta semasa memberi syarahan selepas itu dan hasilnya sangat berkesan. Dengan berbuat demikian, agama Buddha disebarkan dengan lebih cepat di China.

 

Pada abad ke-4 Masihi, agama Buddha terutamanya disebarkan di bahagian utara China. Pada tahun 378 Masihi iaitu ketika Hui Yuan berusia 44 tahun, beliau telah diarahkan oleh gurunya untuk menyebarkan agama Buddha ke bahagian selatan China dengan mengetuai berpuluh-puluh orang pengikutnya. Hui Yuan dan pengikut-pengikutnya tiba di kawasan berhampiran dengan gunung Lu di Jiangxi, bahagian selatan China. Hui Yuan sangat suka akan kesunyian di gunung Lu, lalu beliau mengambil keputusan untuk membina Kuil Donglin di sana. Kuil Donglin merupakan tempat asal kumpulan agama Buddha Jingtu.

 

Semenjak itulah Pendeta Hui Yuan telah tinggal menetap selama 30 tahun di Kuil Donglin dan tidak pernah meninggalkan kuil itu. Dalam tempoh itu, sejumlah besar penganut agama Buddha datang ke Kuil Donglin untuk mempelajari kitab-kitab agama Buddha. Selain itu, sejumlah besar pujangga dan sarjana terkenal juga turut mengikuti beliau tinggal menetap di gunung Lu. Kuil Donglin merupakan pusat penyebar agama Buddha di bahagian selatan China pada masa itu.

 

Pada tahun 402 Masihi, demi meluaskan pengaruh agama Buddha, Pendeta Hui Yuan bersama-sama lebih 100 orang pengikutnya, ahli falsafah Konfusius dan tokoh tersohor telah menubuhkan kumpulan Jingtu. Jingtu bererti tanah yang bersih. Tindakan ini memperlihatkan hasrat Pendeta Hui Yuan untuk mengamalkan ajaran agama Buddha dan hidup di tanah yang bersih.

 

Pendeta Hui Yuan pernah menghantar pengikutnya ke India dan mereka membawa balik lebih 200 kitab agama Buddha. Pendeta Hui Yuan menterjemahkan kitab-kitab agama Buddha tersebut sambil berhubung dengan pendeta dan sami di pelbagai tempat di China untuk menyebarkan agama Buddha dengan aktif. Pendeta Hui Yuan telah mendorong penggabungan agama Buddha dengan agama tradisional China dan telah membuat sumbangan besar dalam penyebaran agama Buddha di China.

 

"Alitabha", istilah penting dalam bacaan kitab agama Buddha yang dikemukakan oleh Pendeta Hui Yuan telah dipopularkan di China malah sampai sekarang. Kumpulan agama Buddha Jingtu yang diasaskan oleh beliau telah diperkenalkan ke Jepun dan Korea selepas abad ke-8 Masihi. 

王瑾